TENAGA pengajar berdedikasi pusat tahfiz iLuvQuran.
MARWAH memberi penekanan kepada aktiviti selain pembelajaran.
ABDUL Fatah bersama sebahagian anak muridnya di pusat tahfiz iLuvQuran.
Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

Menghampiri pintu masuk pusat tahfiz iLuvQuran di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis ‘disambut’ replika Menara Berkembar Petronas yang dibina daripada botol air mineral.

Penulis diberitahu menara itu hasil kerja pelajar berdasarkan pengajaran daripada surah Al-Buruj.

Pelajar turut melakukan pelbagai aktiviti seni seperti lakonan, kuiz dan membuat ‘cup cake’.

Pengasas pusat itu, Faiz Sahri berkata, mereka berusaha mewujudkan suasana positif, seronok dan mesra untuk kanak-kanak belajar.

Selain mengaplikasi tiga kaedah pembelajaran iaitu secara visual (penglihatan), auditori (pendengaran), kinestetik (pergerakan otot dan sendi), iLuvQuran turut menitikberatkan aspek kebijaksanaan emosi.

Beliau berkata, kajian penyelidik Muslim di Barat mendapati kanak-kanak yang menganggu ibu bapa–nya bersolat apabila diangkat dan dipeluk ibu bapanya lebih tekun dan mudah mengamalkan ibadah itu apabila remaja.

“Ini berkaitan dengan ‘positive association’ kanak-kanak itu dengan solat kerana tanpa disedari, mereka memupuk satu emosi positif kepada ibadah itu berbanding kanak-kanak yang tidak dihiraukan ibu bapa ketika bersolat sehingga ada yang menangis.

“Malah, amalan bersolat sambil mendukung anak adalah sunah Rasullullah,” katanya.

Menurutnya, apabila anak seronok di dalam kelas, mereka mempunyai memori dan emosi positif terhadap al-Quran.

“Cara ini menimbulkan rasa rapat dengan al-Quran dalam diri anak, agar mereka tidak dibayangi perasaan asing atau takut untuk mendalami kitab suci itu apabila dewasa,” katanya.

Di iLuvQuran, katanya pelajar diperuntukkan 10 hingga 15 minit untuk bebas bermain sebelum kelas bermula bagi mereka melepaskan tekanan selepas penat belajar di sekolah biasa.

Ustazah Marwah Saari, 28, berkata aktiviti yang dijalankan meliputi 40 peratus daripada keseluruhan kelas bagi kanak-kanak berumur 5-8 tahun bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar bagi ayat yang dihafal.

Kefahaman ayat disesuaikan dengan tahap penerimaan kanak-kanak, dan lebih menjurus kepada penerapan nilai asas tauhid dan akidah seperti keyakinan kepada Allah selain pembentukan akhlak.

Bagi setiap surah, dia cuba mencari sesuatu subjek yang boleh dikaitkan dengan kehidupan anak didiknya.

“Saya yakin setiap ayat yang diturunkan itu, jika kita selami ia boleh mencakupi untuk seluruh sudut dalam kehidupan. Mungkin kita kata anak masih terlalu kecil untuk belajar memahami al-Quran, tapi cara kita mengajar yang tidak betul,” katanya yang memegang ijazah dalam jurusan Fiqh wa Usuluhu daripada Universiti WISE Jordan.

Beroperasi sejak dua tahun lalu, institusi ini menyediakan kemudahan ibu bapa menghantar anak menghafaz al-Quran secara sambilan.

“Hafazan al-Quran boleh dibuat secara sambilan, tidak perlu lagi duduk di satu tempat seperti di asrama dalam jangka masa lama,” kata seorang lagi tenaga pengajar muda, Ustaz Abdul Fatah Zainuddin, 26 tahun.

Menurut hafiz al-Quran lulusan bidang Takhasus Qiraat Universiti Al-Azhar Mesir itu, aktiviti yang diadakan membantu pelajar kekal fokus selama kira-kira dua jam kelas berlangsung berbanding kaedah menghafal biasa iaitu pengulangan.

Sementara itu, pengasas bersama, Nur Zahirah Sukran berkata, pusat itu amat mementingkan profesionalisme dan mahu memperkenalkan satu sistem menghafal dan pembelajaran al-Quran yang sistematik.

“Kami berniat mengadakan kelas tafsir al-Quran untuk orang dewasa, bagaimanapun kebanyakan ustaz atau ustazah masih mengamalkan cara lama dalam pembelajaran iaitu secara santai dengan merujuk kepada sesuatu kitab.

“Apabila diminta mereka sediakan satu modul dan kurikulum yang terancang, lengkap dan mempunyai objektif, mereka tidak dapat sediakan,” luahnya.

Pihaknya turut berhasrat untuk mengangkat golongan hafazan sebagai tenaga kerja profesional.

Di samping berusaha menyediakan gaji yang bersesuaian, khususnya dengan kos hidup yang tinggi di ibu kota, katanya tenaga pengajar di pusat itu diberi tanggung jawab untuk membangunkan modul pembelajaran sendiri. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 2:52 PM