Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Seperti jubah wanita, jubah lelaki juga semakin mendapat tempat dalam kalangan lelaki tempatan sejak kebelakangan ini. Mungkin kerana ciri-ciri pakaian itu sendiri yang menepati syariat malah pereka semakin bijak menyuntik gaya moden pada pakaian berkenaan menjadikannya lebih trendy dan sesuai dipakai dalam apa jua majlis.

Tidak mahu ketinggalan menyertai kemeriahan dunia fesyen lelaki, pemilik butik jubah lelaki dalam talian EX|SL by Qisya Abrar Sdn Bhd Nordin Adie Herman Shah berkata, pemakaian jubah kini bukan lagi terhad untuk acara keagamaan sebaliknya busana ini turut menjadi pilihan ke majlis keraian atau rasmi.

Sudah semestinya setiap perniagaan mementingkan elemen tersendiri dalam rekaan, begitu juga bagi butik ini.

“Keistimewaan pakaian kami terletak pada nilai eksklusifnya. Ini bermakna, bagi menjaga kualiti setiap produk atau jubah yang dihasilkan hanya melalui syarikat ini dan tidak dijahit oleh pengilang.

“Pelanggan juga boleh memilih pilihan rekaan kami sediakan yang jubah itu nanti akan dijahit khas mengikut ukuran pelanggan dan pastinya akan nampak sempurna di tubuh mereka.

“Menerusi rekaan jubah kami yang sedia ada, pelanggan juga boleh memilih padanan warna yang mereka sukai. Namun jika mahukan warna pilihan masing-masing, hanya sedikit bayaran tambahan akan dikenakan, cuma jubah terbabit perlulah mengikut konsep rekaan yang kami sediakan,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Adie.

Berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan membesar serta bersekolah di Keningau Sabah, Adie kini masih menuntut di tahun akhir Management & Science University, MSU Shah Alam dalam bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia. Malah dia juga ketika ini sedang menjalani latihan industri di sebuah syarikat pengurusan minyak dan gas, namun ia sekali pun tidak menghalangnya berkecimpung dalam dunia fesyen.

Katanya, idea untuk membuka perniagaan ini tercetus melalui kerja kursus daripada pihak universiti pada 2011 apabila pelajar dalam bidang perniagaan perlu mewujudkan satu entiti perusahaan.

Selepas selesai projek berkenaan, Adie mula mengorak langkah membuka perniagaan secara kecil-kecilan bersama rakan perniagaannya. Ia dibangunkan atas semangat untuk mengubah nasib keluarga serta memanfaatkan kemahiran dan kekuatan yang dimiliki ahli keluarganya di samping mengambil kira potensi pasaran dan daya saingnya.

Menurutnya, fokus perniagaan ini adalah busana wanita dan lelaki Muslim yang juga sesuai untuk mereka yang bukan Islam.

“Pada peringkat permulaan perniagaan, kami membeli busana dari Jakarta, Indonesia sehinggalah kami berasa perlunya menghasilkan produk sendiri. Maka lahirlah produk jubah lelaki rekaan saya dan rakan perniagaan menerusi jenama EX|SL by Qisya Abrar Sdn Bhd.

“Lebih menarik, jubah rekaan kami ini dijahit oleh kakak saya. Kami lebih mesra dikenali dengan gelaran The Thobe Constructor,” katanya.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu berkata, cetusan idea untuk rekaan produk jubah lelaki didasarkan daripada pengamatan terhadap jubah sedia ada dari seluruh dunia sama ada ia rekaan moden mahupun tradisional.

Selain itu katanya, mereka memperoleh inspirasi rekaan menerusi pengamatan terhadap busana rekaan pereka terkenal dunia yang bukan berkonsepkan jubah selain melakukan kajian padanan warna juga tema warna terkini mengikut musim.

“Kami mahu hasilkan rekaan jubah yang ringkas, unik dan moden serta tampak eksklusif. Kami mahu bersaing secara positif bersama pereka tempatan yang kini giat menghasilkan rekaan jubah masing-masing.

“Selain berfesyen ia juga dapat mengalakkan masyarakat Islam dan bukan Islam untuk memakai pakaian sunah ini. Diharap dengan pakaian sebegini, paling tidak ia mampu membentuk serta memupuk nilai positif sebagai Muslim dan sekali gus mengubah persepsi masyarakat bahawa jubah juga mampu ditampilkan dengan gaya tersendiri,” katanya.

Mereka juga melihat peluang perniagaan menghasilkan busana Muslim lelaki dan kanak-kanak kerana keterbatasan pilihan busana atau pakaian lelaki di pasaran.

“Selain itu kami ingin mengajak lelaki Muslim menjadikan jubah sebagai pilihan pakaian seharian dan bukan hanya pada hari dan waktu tertentu saja. Mendidik masyarakat bukannya mudah, berikutan itu kami juga mensasarkan potensi pasaran kepada pengeluaran jubah kanak-kanak lelaki. Kakitangan Qisya Abrar perlu tampil dengan pelbagai rekaan yang menarik,” katanya.

Menjelas lanjut, warna sedia ada jubah butik ini hanya sekadar panduan pengguna, pelanggan boleh mengubah serta memilih warna pilihan yang digemari selepas mendapat nasihat daripada kami.

Dari segi rekaan, terdapat lebih 15 pilihan dan rekaan untuk sepasang dewasa dan kanak-kanak. Ukuran bagi rekaan butik ini lebih fleksibel kerana selain menyediakan ukuran standard, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan potongan atau ukuran mengikut permintaan pelangan.

Kerana ciri eksklusifnya yang tersendiri, butik itu memberi peluang kepada pelanggan untuk memilih material mengikut harga dan kemampuan mereka.

Ini satu cara bagi memastikan setiap pelangannya berpeluang memiliki jubah rekaan yang sama tapi yang membezakannya adalah jenis penggunaan material. Semestinya pilihan material butik itu bersesuaian dengan iklim Malaysia dan negara timur tengah.

Koleksi pakaian jubah lelaki EX|SL sudah berada di pasaran sekitar Kuala Lumpur, Brunei dan Indonesia sejak pertengahaan Julai 2014.

Adie berkata, sambutan terhadap koleksi jubah amat menggalakkan terutama daripada pelanggan sama yang berpuas hati dengan kualiti jahitan serta rekaan butik berkenaan.

Selain itu mereka turut menerima tempahan pukal daripada institusi pengajian di Sabah. Tidak terkecuali ia ditempah untuk dijadikan pakaian tema bagi majlis perkahwinan.

“Cetusan idea rekaan kami datang dari pelbagai sudut penilaian serta trend masyarakat kini. Setiap hasil rekaan perlu menjalani penilaian kebolehpasaran,” katanya.

Jubah dewasa EX|SL dijual pada harga serendah RM200 sehingga RM280 untuk setiap unit bergantung pada jenis material dan saiz manakala jubah kanak-kanak serendah RM100 sehingga RM160 untuk setiap unit bergantung pada jenis material dan peringkat umur.

Jubah EX|SL boleh didapati menerusi Facebook Exclusive4UOffcial dan Instagram EX|SL Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 12:55 PM