REZAL (kanan) janji cabaran sengit kepada Kedah.
Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my


Seremban: “Walaupun ia bukan tugas mudah, tapi kami tidak rela pulang tangan kosong sebaliknya kemenangan dari Alor Setar nanti,” kata kapten Negeri Sembilan (NS) Matrix, Rezal Zambery Yahya.

NS Matrix akan menentang Kedah dalam saingan Liga Perdana di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Rezal berkata, mereka mahu memastikan kemenangan dicapai ke atas skuad Kenari dalam misi memperkukuhkan kedudukan terbaik carta liga.

Katanya, kekurangan satu perlawanan berbanding pasukan lawan, sekali gus menyukarkan untuk meletakkan pasukan dalam kelompok dua pasukan terbaik, tidak akan melemahkan semangat pemain untuk terus memburu kemenangan.

“Kami sedar pasukan perlu kekalkan prestasi cemerlang dan menang aksi ini untuk memastikan kedudukan pasukan tidak terlalu jauh dengan dua pasukan teratas.

“Tambah pula kami kekurangan satu perlawanan selepas pertemuan dengan Pulau Pinang tempoh hari ditangguhkan kerana faktor cuaca.

“Justeru, tiga mata dari Alor Setar amat penting untuk memastikan pasukan terus kekal dalam kedudukan terbaik carta, sekali gus memudahkan kami memintas pasukan yang berada di atas pada aksi berikutnya,” katanya.

Tonggak berpengalaman itu berkata, skuad Hobin Jang Hobin turun dengan barisan terbaik selepas rakan yang cedera pulih sepenuhnya kecuali Mohd Kyril Muhymeen Zambri.

“Kami akan turun dengan kekuatan sebenar dan menjanjikan cabaran sengit biarpun saya akui Kedah berada pada tahap prestasi terbaik selepas menewaskan Johor Darul Takzim 11 (JDT11), minggu lalu.

“Namun, ia bukan halangan untuk menewaskan mereka kerana kami ada strategi tersendiri demi misi merealisasikan kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:58 AM