AFP

Manama: Hanya beberapa hari selepas perbalahan terbaru mereka pada Grand Prix China Ahad lalu, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg kembali hujung minggu ini ke litar yang menyaksikan pertarungan paling dramatik mereka pada GP Bahrain.

Juara dunia Hamilton muncul pemenang tahun lalu selepas pertarungan menakjubkan antara keduanya apabila dia meraih kemenangan di depan rakan sepasukan Mercedes, Rosberg.

Rosberg dari Jerman, yang meraih petak utama di Bahrain sejak dua tahun lalu, sedar dia perlu melengkapkan hatrik untuk bermula di petak utama bagi memberinya peluang menang dan mengurangkan pendahuluan semasa Hamilton dalam kejuaraan pemandu 2015.

Pemandu Britain itu mendahului dengan 68 mata selepas dua kemenangan daripada tiga perlumbaan pertama musim ini di depan pencabar terdekatnya, juara dunia empat kali Sebastian Vettel dari Jerman yang memandu Ferrari, yang menamatkan kemarau kemenangannya di Malaysia, dengan 55 mata manakala Rosberg di tangga ketiga dengan 51 mata.

“Kami dan pasukan sudah memulakan musim dengan hebat dan dengan keupayaan menakjubkan kereta ini, saya sedar hanya perlu mencari sedikit kelebihan untuk kembali berada di puncak,” jelas Rosberg.

“Saya tidak pernah menang di Bahrain, namun saya memenangi dua petak utama terakhir di sini dan juga melakukan pusingan terpantas di litar ini pada penampilan sulung saya dalam F1, jadi saya tahu saya mempunyai kepantasan.

“Sudah tentu, setiap orang ingat dengan perlumbaan tahun lalu dan pasti hebat buat penyokong jika kami mampu mengulanginya.”

Rosberg jelas berhati-hati dengan peluangnya, namun berbeza dengan Hamilton yang tahun ini dilihat lebih mantap dan menjadi pilihan merangkul kejuaraan ketiga.

“Ia permulaan hebat, tapi bagi saya musim lalu membuktikan anda tidak boleh berasa terlalu selesa begitu juga kesnya kali ini dengan Ferrari tidak jauh di belakang kami,” kata Hamilton.

“Saya berada di kedudukan baik ketika ini. Momentum menyebelahi saya. Jadi, sasarannya adalah untuk mengekal serta mengulangi persembahan tahun lalu.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:47 AM