DARI kiri - Kahiyang Ayu, Kaesang, Iriana, Selvi dan Gibran selepas sidang media di Solo, semalam.
Agensi

Solo: Isteri Presiden Joko Widodo (Jokowi), Iriana, semalam mengesahkan akan melangsungkan perkahwinan anak sulung mereka, Gibran Rakabuming Raka, dengan Selvi Ananda pada awal Jun depan.

Iriana mengesahkan demikian pada sidang akhbar di Graha Saba Buana, gedung serba guna di Solo, milik keluarga Jokowi.

Pada sidang akhbar yang turut disertai oleh Gibran dan Selvi itu, Iriana turut mendedahkan bagaimana dia pertama kali menemui calon menantunya.

“Saya mula mengenali Selvi ketika Jokowi menjadi Gabenor Solo. Ketika itu Selvi bertanding untuk berebut gelaran Putri Solo.

“Ketika Jokowi memakaikan mahkota pada Selvi yang memenangi gelaran itu, saya sempat berkata dalam hati, 'bocah kok ayu temen’ (anak ini (Selvi) cantik sekali). Tidak saya sangka akhirnya dia akan menjadi menantu kami,” kata Iriana kepada wartawan.

Menurutnya, keluarganya dan keluarga bakal besan mereka sudahpun berbincang, dengan yang terbaru kelmarin, mengenai majlis perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, tarikh majlis masih belum ditetapkan.

“Yang pastinya pada Jun. Mungkin awal bulan. Tetapi, kami perlu membincangkannya lagi. Tarikhnya sudah sesuai cuma mahu diselaraskan dengan kalendar Jawa,” kata Wanita Pertama Indonesia itu.

Mengenai tetamu yang diundang, Iriana berkata, keluarganya masih mengatur daftar nama memandangkan dia mempunyai ramai saudara- mara dan sahabat.

“Kami yang mengaturnya sendiri, termasuk kateringnya sekali. Mengenai pakaian majlis perkahwinan, ia juga sudah diatur semalam (kelmarin),” kata Iriana.

Mengenai tema pula, dia berkata, ia akan berlangsung dengan adat istiadat Jawa Solo.

Ketika ditanya mengenai perasaannya bakal menjadi menantu presiden, Selvi mengaku dia tidak pernah terbayang akan berkahwin dengan anak presiden.

“Memang saya gembira. Tetapi bukan kerana menjadi menantu orang nombor satu Indonesia. Yang bahagianya ialah saya akan berumah tangga, kemuncak percintaan kami selama lima tahun. Kebahagiaan itu mengalahkan segala-galanya.

Menjawab soalan mengenai siapa dulu meluahkan rasa cinta, Selvi berkata, dia dan Gibran mahukan perkara itu menjadi rahsia peribadi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 9:22 AM