IZHAM (tengah) perlu konsisten untuk beraksi di skuad utama Hodak.
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my


Johor Bahru: Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Izham Tarmizi Roslan nyata lega apabila gawangnya tidak dibolosi selepas skuad itu mencipta kemenangan 2-0 ke atas Kitchee FC pada saingan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Larkin, kelmarin.

Bagi bekas penjaga gol Harimau Muda itu, walaupun kelibatnya jarang diturunkan selepas sering dibayangi kehebatan penjaga gol utama Farizal Marlias namun kecederaan dialami penjaga gol kebangsaan itu memberi ruang untuknya beraksi pada perlawanan kelmarin.

“Turun dalam kesebelasan utama sememangnya menjadi impian dan saya bertuah apabila diberi kepercayaan oleh jurulatih Bojan Hodak untuk mengemudi gawang Johor DT.

“Bukan senang untuk berada dalam skuad utama memandangkan Johor DT turut memiliki dua lagi penjaga gol yang hebat iaitu Fariza dan Muhammad Al-Hafiz Hamzah namun rezeki milik saya.

“Memang terkejut melihat persembahan pasukan Kitchee FC yang langsung tidak melakukan percubaan berbahaya ke gawang Johor DT sebaliknya hanya dua sepakan lintang yang agak baik namun saya mampu menepis dan menangkap bola dengan kemas,” kata Izham Tarmizi.

Malah, Izham turut mengakui keampuhan pertahanan yang diterajui Marcos Antonio dan Junior Eldstal menyukarkan barisan serangan lawan menyusup masuk ke dalam kawasan kotak penalti tuan rumah.

Katanya, kelibat Hariss Harun dan Shakir Shaari di posisi tengah berjaya menghalang gerakan berbahaya pemain lawan yang seolah-olah hilang punca untuk merencana gerakan yang boleh mendatangkan bahaya ke kubu Johor DT.

Sementara itu, Hodak menganggap Johor DT belum lagi selamat untuk layak ke pusingan 16 pasukan terbaik dan mereka perlu menang selesa ke atas East Bengal di Kolkatta, India, 28 April ini.

“Kita meletakkan sasaran muncul juara Kumpulan F bagi memudahkan laluan ke pusingan 16 pasukan terbaik dan perlu mengelak daripada mencatat keputusan seri atau tewas apabila berdepan East Bengal.

“Baki dua perlawanan ini amat kritikal bagi Johor DT tetapi saya optimis kami mampu mengatasi rintangan itu untuk kekal tangga teratas kumpulan kerana Kitchee FC selaku pasukan layak ke separuh akhir musim lalu pasti mahu memintas Johor DT,” kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:34 AM