OPERASI mencari dan menyelamat mangsa dikhuatiri dibaham di Sungai Rimbas, Debak. FOTO ihsan Polis
Oleh Alias Abd Rani

Betong: Seorang lelaki dikhuatiri maut dibaham buaya ketika mencari buah pedada di Kampung Babu Ulu, dekat Debak, hari ini.

Mangsa Bob Denok, 31, dilaporkan dibaham buaya sepanjang kira-kira lima meter sebelum reptilia itu melambung jasadnya ke kawasan sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Aidil Bolhassan berkata, mengikut keterangan dua rakan bersama mangsa ketika kejadian, mereka bertiga berenang di sungai berhampiran Kampung Babu Ulu untuk memetik buah pedada.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa berada dalam sungai manakala dua rakannya memanjat pokok untuk memetik buah berkenaan.

"Ketika asyik memetik buah, mangsa secara tiba-tiba disambar buaya sebelum ditarik tengah sungai. Rakannya sempat mendengar mangsa menjerit meminta pertolongan.

"Namnun mereka tidak berani menolong sebaliknya berlari meminta pertolongan penduduk kampung terbabit. Penduduk kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 7:06 PM