Oleh Mohammad Ishak

Jertih: Dua nelayan dikhuatiri hilang manakala 23 berjaya diselamatkan apabila bot mereka karam di perairan Pulau Perhentian, dekat sini, 5.30 pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika bot yang membawa 25 nelayan bersama tangkapan hasil laut dalam perjalanan pulang ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, bot terbabit dikatakan terlanggar batu besar kerana keadaan ketika itu gelap dan ribut.

Katanya, 23 nelayan terbabit diselamatkan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan dibawa ke Pangkalan APMM Tok Bali.

"Bot terbabit sepatutnya pulang ke pangkalan Jeti LKIM Kuala Besut tetapi tidak sempat kerana pecah selepas terlanggar batu kira-kira 11 batu nautika dari Kuala Besut.

"Gerakan mencari dan menyelamat dua lagi nelayan yang dipercayai hilang giat dilakukan oleh pasukan penyelamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 3:09 PM