AMEERA bergaya dengan kasut baru Dr Kong.
SHARIFAH Sofia riang di samping dua anaknya Ameera dan Ariana.
EMILY memberikan penerangan kepada Sharifah Sofia mengenai pemilihan kasut yang betul.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Bukan hanya pakaian serta kecantikan wajah perlu diberi perhatian sebaliknya kesihatan kaki perlu dijaga kerana anggota penting itu mempunyai peranan besar iaitu menampung bebanan tubuh serta melancarkan pergerakan badan.

Untuk itu, terdapat pelbagai cara boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan kaki antaranya melalui pemakaian kasut berukuran tepat, selesa dan bersesuaian dengan aktiviti dilakukan.

Mengikut laporan dikeluarkan jenama kasut terkenal dari Hong Kong, antara 75 hingga 80 peratus dewasa mengalami masalah berkaitan kaki. Tetapi kebanyakan mereka tidak mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar untuk mengatasinya.

Laporan sama menyebut, kasut dipakai seseorang mempunyai kesan cukup besar kerana ia berfungsi menampung lutut di sepanjang pergerakan seseorang. Oleh itu sedikit kesan buruk ke atas kaki boleh memberi kesan besar kepada lutut. Ia mengakibatkan bahagian sendi itu berasa sakit dan tidak selesa.

Kasut sama ada untuk dewasa dan kanak-kanak bukan sekadar untuk bergaya dan selesa, tetapi perlu menggabungkan unsur yang terbukti dapat mengurangkan rasa sakit dan tidak selesa khususnya untuk ibu yang menggendong bayi mereka dan setiap hari melakukan aktiviti bersama-sama.

Bagi memberi pendedahan dengan lebih mendalam mengenai kasut untuk ibu dan kanak-kanak, satu sesi bual bicara ringkas bertajuk Berjalan dengan Dr Kong- Ibu dan Anak diadakan di butik Dr Kong Tropicana City Mall dengan dihadiri selebriti Sharifah Sofia bersama dua anak perempuannya, Ameera dan Ariana. Sharifah orang pertama yang diperiksa kaki oleh Datin Emily Lee, isteri kepada pengasas Dr Kong, Datuk Dr Edmund Lee.

Sebaik saja melakukan pemeriksaan, Emily menerangkan mengenai kasut yang sesuai untuk menjaga kaki Sharifah dan juga untuk dua anaknya. Jelasnya, Sharifah tidak mempunyai masalah pada kaki begitu juga Ameera. Bagaimanapun, buku lali Ariana memerlukan pemakaian kasut dengan ukuran yang betul. Selepas pemeriksaan, Emily menunjukkan kasut yang sesuai serta membiarkan mereka memilih mengikut jenis dan corak kegemaran mereka.

Menurut Sharifah sebelum ini dia kurang arif mengenai ukuran kaki dan membeli kasut berdasarkan saiz dan rekaannya.

“Rupa-rupanya, jika kaki tidak sejajar dengan kasut yang dipakai, ia boleh menjejaskan lutut dalam jangka masa panjang. Untuk dewasa mungkin tidak banyak yang boleh diubah melainkan memilih kasut mengikut ukuran yang disarankan, tetapi untuk kanak-kanak, ibu bapa mempunyai banyak masa untuk melakukan pemeriksaan,” katanya yang memilih kasut bertumit berbentuk pump kerana ia sesuai dengan dirinya. Malah kasut ini tidak sakit ketika dipakai.

Jelas Emily, kasut yang betul boleh membetulkan postur badan pada usia muda. Berjalan adalah satu komponen yang sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Keupayaan untuk berjalan tanpa rasa sakit adalah hak setiap individu tanpa mengira peringkat usia.

“Berjalan adalah aspek tubuh manusia yang tidak boleh diabaikan. Kasut pula harus selesa dan memberikan sokongan pada tubuh. Rekaan pula perlu menawan. Sudah tentu setiap wanita inginkan sepasang kasut yang bagus bukan saja untuk dirinya, tetapi juga anak-anak. Untuk itu kami berhasrat menyediakan kasut terbaik untuk mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 12:44 PM