Jakarta: Panglima tentera Indonesia (TNI) tidak gentar dengan ancaman seorang lelaki yang mendakwa anggota Negara Islam (IS) untuk datang dan membebaskan semua militan di penjara Nusakambangan, Jawa Tengah.

“Tidak ada masalah. Kami akan menunggu mereka. Lagi baik jika mereka datang, bukan setakat membuat ancaman. Biar mereka datang dan kami akan musnahkan mereka,” kata Jeneral Moeldoko, semalam.

Beliau mengulas laporan mengenai video dalam YouTube yang mengandungi ancaman untuk menyerang penjara itu dan membebaskan tahanan yang didakwa militan, Abu Bakar Bashir dan Aman Abdurrahman.

Pihak berkuasa percaya lelaki dalam video itu Abu Jandal, militan IS kelahiran Indonesia.

Dia pernah memuatnaikkan video lain Disember lalu untuk mengancam TNI dan unit antipengganas polis, Densus 88.

Menurut Moeldoko, pihaknya kini memberi tumpuan untuk menghalang fahaman IS bertapak di Indonesia.

“Ideologi IS tidak boleh dibenar tersebar di Indonesia,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 9:39 AM