Paris: Terjejas kerana kecederaan dan penggantungan perlawanan, Paris Saint-Germain memperbaharui permusuhan dengan Barcelona apabila kedua-dua pasukan bertemu pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Parc des Princes, awal pagi esok.

PSG disingkirkan pada suku akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan bagi dua musim terakhir, termasuk kecundang di tangan Barcelona pada 2013.

Ketika mereka mengintai peluang mara ke separuh akhir pertandingan kelab elit Eropah itu buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, pasukan ibu negara Perancis itu berada pada prestasi terbaik.

Berbekal kelebihan satu mata di puncak carta Ligue 1, mereka dalam laluan tepat menyapu bersih semua kejuaraan domestik selepas membenam Bastia 4-0 pada final Piala Liga hujung minggu lalu.

Zlatan Ibrahimovic menjaringkan dua gol pada perlawanan itu, selepas meledak hatrik ketika menang 4-1 ke atas Saint-Etienne pada separuh akhir Piala Perancis sekali gus menjaringkan gol ke-100 bersama kelab itu.

Bintang Sweden itu menyumbat 13 gol dalam tujuh perlawanan terakhir buat kelab dan negaranya, namun dia akan terlepas aksi menentang bekas kelabnya kerana penggantungan perlawanan selepas dibuang padang pada perlawanan kedua pusingan kedua menentang Chelsea bulan lalu.

Ibrahimovic juga akan memulakan penggantungan empat perlawanan domestik dan PSG terpaksa membiasakan diri tanpa khidmatnya yang menjaringkan keseluruhan 28 gol pada musim ini.

“Dia bagus, terlalu bagus,” kata jurulatih Laurent Blanc mengenai persembahan Ibrahimovic pada final Piala Liga. “Objektifnya sekarang adalah suku akhir kedua menentang Barcelona. Dia akan mendapat rehat mencukupi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 9:13 AM