Filem lakonan Lily James, Cate Blanchett, Richard Madden dan Helena Bonham Carter ini mencatat kutipan lebih RM250 juta pada minggu pertama tayangannya di Amerika Syarikat bulan lalu.

Skor muzik filem terbitan Disney ini dihasilkan Patrick Doyle bersama James Shearman. Ia termasuk tiga lagu nyanyian bintang utamanya iaitu Bibbidi-Bobbidi-Boo (Helena Bonham Carter), A Dream Is A Wish Your Heart Makes (Lily James) dan Strong (Sonna Rele).

Selain tiga lagu ini, selebihnya ialah skor muzik dalam babak-babak tertentu filem berkenaan yang dimainkan The London Symphony Orchestra.

Selain itu, Doyle turut bermain piano dan menjadi konduktor untuk lagu La Valse De L’amour.

Kerjasama Doyle bersama pengarah Cinderella, Kenneth Branagh mewujudkan keserasian yang menjanjikan kekuatan kepada album ini.

Sentuhan Doyle yang tersendiri dalam muzik klasikal menjadi antara tarikan utama dalam filem Cinderella.

Komposisinya menyerlahkan lagi jalan cerita filem berkenaan. Ia bersesuaian dengan unsur fantasi, magis, klasik dan percintaan seperti yang digarap Branagh dalam Cinderella.

Apa yang pasti, tidak lengkap jika mendengar album ini tanpa menonton filemnya. Tanpa menonton filemnya, album ini tidak akan menjanjikan kepuasan.

Mengandungi 30 trek, Doyle membawa peminat terbuai dalam alunan klasik berpanjangan.

ARTIS: Soundtrack

ALBUM: Cinderella

TERBITAN/EDARAN: Walt Disney Records/Universal Music

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 10:04 AM