FOTO ihsan bomba
Oleh Ayusliza Azizan

Meru: Stor simpanan bahan kimia jenis Thiourea Dioxide atau dikenali Formamidine Sulfinic Asid kelas empat di sebuah kilang memproses bahan pewarna pakaian mengalami kebocoran di Taman Industri Meru, petang tadi.

Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku apabila bahan kimia dalam bentuk serbuk terkeluar dari 10 tong yang mengalami kebocoran sebelum bertindak balas dengan udara dan air hingga mengakibatkan pembentukan gas.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.20 petang dan setibanya anggota bomba di tempat kejadian gas sudah memenuhi kawasan stor simpanan kilang dan mula merebak keluar.

"Anggota bomba mengenalpasti punca kejadian dan mengeluarkan bahan kimia itu seterusnya melakukan kerja pembersihan yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

"Seramai 21 anggota dari Balai Bomba Sungai Pinang, Kota Raja dan Shah alam terbabit dalam kerja pembersihan itu," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian lima pekerja berada di dalam kilang itu dan mereka sempat menyelamatkan diri.

Katanya, jika terhidu atau terkena kulit, gas berkenaan boleh menyebabkan mangsanya sukar untuk bernafas serta mengalami kegatalan kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 5:49 PM
Skip this ad x