ROKOK kretek yang cuba diseludup dirampas PPM. FOTO ihsan PPM
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas sebuah Toyota Camry dengan muatan 11,000 bungkus rokok kretek yang dipercayai cuba diseludup ke pasaran tempatan di ladang kelapa sawit Belungkor, Pengerang dekat Kota Tinggi, tengah malam tadi.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua rokok yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM104,170, manakala kereta dengan nombor pendaftaran negara jiran itu bernilai RM65,000.

"Dalam Ops Landai kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi, anggota PPM Pengerang mengekori kereta terbabit yang kelihatan mencurigakan kerana memandu laju sebelum diarahkan berhenti.

"Namun, pemandu terus memandu sebelum terbabas di ladang kelapa sawit itu dan berjaya melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barangan bercukai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 4:55 PM