WALLACE dan Dr Nurul Huda melancarkan kempen berkenaan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Tahap kesedaran mengenai sensitiviti gigi cukup tinggi di Malaysia. Kajian Penggunaan dan Sikap Penjagaan Mulut oleh Ipsos mendedahkan, 87 peratus daripada rakyat di negara ini peka mengenai gigi sensitif.

Satu daripada tiga pengguna turut menyatakan mereka mempunyai gigi sensitif menjadikannya masalah kesihatan mulut paling kerap dalam kalangan masyarakat.

Namun, hanya satu pertiga daripada pesakit menggunakan ubat gigi sensitif untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Gigi sensitif ialah rasa ketidakselesaan atau sakit pada gigi.

Gigi sensitif berlaku apabila lapisan luar yang melindungi gigi iaitu enamel atau simentum terhakis hingga menyebabkan lapisan dentin terdedah.

Dentin terdiri daripada lubang kecil yang dipanggil tubul. Di hujung tubul terkandung cabang saraf yang berasal daripada pulpa gigi (pusat saraf gigi).

Apabila lapisan dentin yang terdedah ini bersentuh dengan sesuatu yang sejuk, cabang saraf di dalam gigi akan dirangsang, sekali gus menyebabkan kesakitan pada gigi sensitif.

Pakar Bedah Mulut, Dr Nurul Huda Hasan berkata, gigi sensitif bukan saja tidak menyenangkan, tapi boleh mengganggu kehidupan seharian individu itu sendiri.

“Rasa ngilu atau sakit dapat dirasai apabila lapisan dalam gigi (dentin) atau gusi yang menyusut terdedah kepada makanan atau minuman panas, sejuk, manis mahupun masam.

“Bukan itu saja, kerap mengambil makanan dan minuman berasid seperti buah atau jus yang masam serta minuman bergas boleh menyebabkan hakisan lapisan permukaan gigi.

“Selain itu, gigi mudah berasa ngilu apabila kita memberus gigi terlalu kuat dengan teknik salah hingga mencederakan dan mendedahkan akar gusi,” katanya.

Ujarnya, gigi berlubang, tampalan lama pada gigi yang retak atau renggang serta pembedahan gusi yang mendedahkan akar gigi turut menjadi penyebab kepada masalah gigi ngilu.

Gangguan pemakanan seperti bulimia yang memuntahkan semula makanan atau individu yang mengalami penyakit refluks gastroesofagus (GERD) juga menyebabkan permukaan gigi mudah haus. Ini disebabkan makanan terhadam yang dikeluarkan semula sudah bercampur dengan asid.

“Menahan ketidakselesaan atau mengelakkan makanan kegemaran terutama yang sejuk, manis, pedas dan masam tidak akan membantu membebaskan diri daripada rasa ngilu.

“Hanya melalui penggunaan harian ubat gigi sesuai secara berulang dapat mengekalkan perlindungan sensitiviti dan membolehkan pesakit menikmati hidangan digemari dalam suasana menyeronokkan,” katanya.

Selain itu, sikap atau amalan individu yang dilakukan secara kerap seperti memberus gigi berulang kali dan tabiat pemakanan dengan nilai pH rendah turut menyumbang kepada masalah lapisan enamel terhakis.

Selain menggunakan ubat gigi yang sesuai, pesakit juga akan diberi kaunseling mengenai punca gigi sensitif bagi mendedahkan pesakit terhadap cara betul mengurangkan masalah di­alami.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kesihatan Mulut GSK Consumer Healthcare Malaysia, Wallace Granja berkata, gigi sensitif adalah masalah pergigian yang dihadapi kebanyakan orang pada satu waktu dalam hidup mereka.

“Bertambah tertekan apabila individu yang mempunyai masalah gigi sensitif tidak dapat menikmati hidangan digemari. Disebabkan penghidap gigi sensitif semakin meningkat, kami menganjurkan kempen Chill Festival bertemakan ‘Tiada Ngilu, Hidup Ceria’ secara giat sepanjang bulan Mac lalu.

“Ia bertujuan mendekati pengguna agar mengubah kelaziman mereka mengorbankan kenikmatan makanan kerana gigi sensitif,” katanya.

Kaunter pencuci mulut yang sejuk disediakan bagi mendekati pengguna di samping membantu melegakan masalah gigi sensitif. Sepanjang kempen berkenaan, lawatan ke 53 cawangan di seluruh negara dilakukan untuk membantu lebih ramai individu yang mengalami gigi sensitif menikmati makanan dalam suasana menyeronokkan.

Usaha berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Chatime Malaysia, Teochew Chendul dan The Potong untuk melakukan lawatan ke cawangan kedai terpilih di seluruh negara bagi menjalankan aktiviti pensampelan produk, jelajah serta menggalakkan pengguna mengambil bahagian dalam pemeriksaan gigi sensitif.

Ujarnya, melalui pilihan ubat gigi yang tepat dapat membantu pengguna menikmati makanan dan minuman kegemaran mereka tanpa perlu bimbang akan mengalami rasa ngilu pada gigi.

Hadir sama pada majlis berkenaan, chef selebriti, Andri Hadi yang turut memberi pendidikan mengenai penyebab gigi sensitif melalui penyediaan pencuci mulut.

Pada masa sama, jenama berkenaan turut melancarkan Alat Penguji Gigi Sensitif yang boleh diakses melalui www.sensodyne.com.my untuk memudahkan pengguna mengetahui dan mengenal pasti tahap sensitiviti gigi mereka dalam tempoh singkat.

Langkah mengelakkan gigi sensitif

- Kekalkan amalan kebersihan mulut dan gigi yang baik. Bersihkan semua bahagian gigi dengan teknik memberus dan flos gigi yang betul.

- Elakkan memberus secara mendatar kerana ia akan menyebabkan rasa ngilu pada gigi.

- Gunakan berus gigi yang lembut. Berus secara ­perlahan dan berhati-hati di sekeliling gusi untuk mengelakkan hakisan permukaan gigi serta kecederaan gusi.

- Gunakan ubat gigi berfluorida. Penggunaan ubat gigi berfluorida bersama ubat kumur setiap hari dapat membantu melindungi gigi. Ini kerana fluorida membantu menguatkan lapisan enamel gigi.

- Awasi pemakanan yang diambil. Kurang­kan atau elakkan makanan dan minuman yang berasid serta bergas seperti limau kerana boleh menambahkan rasa sensitif.

- Kumur dengan air biasa selepas mengambil makanan dan minuman berasid. Elakkan memberus gigi sekurang-kurangnya 30 minit selepas mengambil makanan dan minuman berasid. Ini adalah untuk membantu mengurangkan kesan buruk akibat gabungan asid dan hakisan gigi semasa memberus.

- Rawat tabiat mengasah gigi. Jika suka mengetap atau mengasah gigi, gunakan pelindung semasa tidur.

- Berjumpa doktor gigi secara berkala. Dapatkan pemeriksaan dan pembersihan gigi, cara menjaga gigi dan rawatan fluorida daripada doktor setiap enam bulan sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 12:22 PM