Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Barisan gigi yang cantik diperoleh menerusi amalan penjagaan yang konsisten. Tanpa amalan penjagaan gigi yang berdisiplin, tidak mungkin kita akan memiliki penampilan gigi dan senyuman menawan.

Selain penjagaan gigi yang dilakukan secara rutin bersama pemeriksaan berkala, kita juga perlu mengambil berat mengenai jenis makanan yang diambil kerana ia juga boleh mempengaruhi kesihatan gigi.

Misalnya, masalah kaviti gigi. Kaviti gigi adalah masalah pergigian yang paling mudah dicegah di dunia. Secara global, 60 hingga 90 peratus pelajar sekolah dan hampir 100 peratus individu dewasa mengalami masalah ini.

Di Malaysia, lebih kurang 88.9 peratus orang dewasa dikesan mengalami masalah ini manakala pada 2005 dan 2007, sekurang-kurangnya 76.2 peratus (kanak-kanak berusia lima tahun) dan 74.5 peratus (kanak-kanak berusia enam tahun) didapati mengalami masalah yang sama.

Kajian menunjukkan pengambilan gula adalah penyebab utama pembentukan kaviti gigi. Pengambilan gula tidak semesti­nya melalui kopi, minuman berkarbonat dan biskut, ia juga boleh didapati secara tersembunyi dalam makanan lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Apabila kita makan, bakteria di dalam mulut akan bertindak balas dengan gula yang terdapat pada makanan dan membentuk asid gula.

Asid gula ini menyebabkan tahap pH yang kurang baik dan akan melembutkan enamel pada permukaan gigi. Proses berkenaan dipanggil pelarutan mineral yang mengakibatkan kaviti.

Walaupun fluorida boleh membantu mencegah pembentukan kaviti dengan mengurangkan hakisan mineral, namun ia tidak dapat meneutralkan asid gula di dalam plak. Namun, kita semua tidak perlu risau kerana masalah kaviti gigi boleh dicegah jika dikesan di peringkat awal.

Usaha berterusan

Bagi yang masih belum memulakan penjagaan gigi secara serius, bolehlah bermula sekarang, bersempena sambutan Bulan Kesihatan Mulut ke-12 yang berlangsung sepanjang April ini anjuran Colgate-Palmolive Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Pergigian Malaysia.

Melalui sokongan daripada Kementerian Kesihatan dan Alliance for A Cavity-Free Future (ACFF), kempen dilaksanakan dengan tema ‘Melawan Asid Gula, Menentang Kaviti’.

Kempen berkenaan diadakan untuk mendidik warga Malaysia mengenai kaviti gigi dan kesan asid gula sebagai punca utama pembentukan kaviti.

Misi Bulan Kesihatan Mulut pada tahun ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran kesihatan mulut dalam kalangan warga Malaysia menjelang 2020 melalui kempen bebas kaviti anjuran Colgate.

Selaras dengan Pelan Kesihatan Mulut Kebangsaan 2011-2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, pelan itu mensasarkan sebahagian daripada jumlah peratus kanak-kanak berusia enam tahun akan bebas kaviti.

Ia juga mensasarkan peningkatan peratus bebas kaviti untuk kanak-kanak berusia 12 tahun dan 70 peratus untuk remaja berumur 16 tahun serta 50 peratus secara keseluruhan.

Bulan Kesihatan Mulut adalah satu platform yang bertujuan menentang bahaya asid gula, selari dengan fokus utama Pertubuhan Pergigian Dunia (FDI).

Sepanjang April ini, sebanyak 784 klinik di seluruh negara akan menawarkan khidmat pemeriksaan gigi secara percuma. Untuk mengetahui klinik pergigian terdekat bagi mendapatkan pemeriksaan gigi secara percuma, layari www.colgate.com.my/ohm.

Selain itu, terdapat juga kiosk yang menyediakan khidmat pemeriksaan gigi secara percuma di 12 pusat beli-belah di seluruh negara sebagai tanda sokongan terhadap usaha ini.

Pada masa sama, Colgate Perlindungan Kaviti Maksimum yang mengandungi Peneutral Asid Gula dicipta dengan teknologi terbaru sejak ubat gigi fluorida diperkenalkan.

Ia ubat gigi perlindungan kaviti terbaik untuk keluarga dalam mencapai ­matlamat kempen berkenaan berhasil. Peneutral Asid Gula yang dipaten membantu meneutralkan asid gula sebelum ia merosakkan gigi.

Melalui kalsium dan fluorida, ia juga membantu menguatkan enamel gigi serta mencegah pembentukan kaviti. Produk penjagaan gigi berkenaan diuji secara klinikal selama lapan tahun yang membabit­kan 14,000 individu.

Ia ubat gigi pertama dengan Peneutral Asid Gula yang membantu menentang asid gula pada plak yang menjadi punca utama masalah kaviti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 12:04 PM