BANYAK kelebihan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di CQ-Tec, sekali gus memberi mereka peluang untuk mencorakkan masa depan dengan lebih baik.
CQ-Tec sentiasa komited untuk memberi peluang pendidikan berbentuk kemahiran terbaik kepada pelajarnya.
KEMUDAHAN lengkap disediakan untuk pelajar.
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my


Menyedari keperluan mendesak tenaga kerja yang mempunyai kemahiran bagi memenuhi permintaan dalam pembangunan negara, Institut CQ-Tec di Taman Sri Gombak, Selangor menawarkan kursus teknikal kepada pelajar.

Ditubuhkan pada 2001, institut pendidikan swasta itu memberi penekanan kepada pengajaran kursus kemahiran yang mendapat pengiktirafan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK).

CQ-Tec mensasarkan matlamat melahirkan pelajar berketrampilan dari segi kemahiran asas dan pengetahuan, sekali gus mampu memperoleh kepercayaan majikan.

Pengetua CQ Breyer Group of Colleges, K Medlin berkata, institut itu ditubuhkan untuk memberi peluang pelajar yang kurang berminat dalam akademik mempelajari aspek kemahiran.

Beliau berkata, pelajar seperti itu sering kali dianggap tidak mempunyai masa depan selain gagal dalam kehidupan.

“Namun, di CQ-Tec kami memberi peluang pelajar mengubah nasib dan masa depan dengan menyediakan beberapa kursus berasaskan kemahiran laris di pasaran.

“Pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik tidak disisihkan, malah turut berpeluang mengikuti pendidikan tinggi alternatif berbentuk kemahiran.

“Ini sekali gus membuka peluang pekerjaan kerana di CQ-Tec, kami memberi jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian berikutan hubungan erat dengan pelbagai industri,” katanya.

Pelajar yang mengikuti kursus ditawarkan akan memperoleh Sijil Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Antara kursus ditawarkan peringkat diploma ialah Diploma Kulinari, Diploma Pengurusan Perhotelan, Diploma Sistem Maklumat-IT (Pengurusan Pejabat), Diploma Elektrik dan Diploma Sistem Komputer (Baik Pulih Komputer).

Manakala sijil pula merangkumi Sijil Juruelektrik, Elektronik Industri, Kulinari, Pengurusan Hotel dan Pastri.

Menurutnya, mereka yang mengikuti pengajian di CQ-Tec juga berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Open Universiti Malaysia (OUM).

“Jika tidak berminat menceburi bidang pekerjaan, mereka boleh melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.

“Inilah kelebihan ditawarkan CQ-Tec dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang bukan saja mempunyai kemahiran, tapi juga mampu melanjutkan pengajian tinggi,” katanya.

Selain di Taman Sri Gombak, institut berkenaan juga mempunyai cawangan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, Jalan Tun H S Lee (Kuala Lumpur) dan Petaling Jaya (Selangor).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 11:46 AM