ANGGOTA Kongres Carolyn Maloney (kiri) bercakap ketika perhimpunan ‘Ready for Hillary’ di Manhattan, New York, semalam.
Agensi

Panama City: Presiden Barack Obama semalam berkata, Hillary Clinton akan menjadi calon terbaik untuk menggantikannya pada pilihan raya tahun depan.

“Dia akan menjadi presiden yang cemerlang,” kata Obama pada sidang akhbar di sidang kemuncak Americas di Panama City, Panama, sehari sebelum Hillary dijangka mengumumkan kempennya untuk menduduki Rumah Putih pada 2016.

Menurut Obama, Hillary memberi cabaran yang kuat ketika bersaing dengannya untuk menjadi calon parti Demokrat bagi pilihan raya presiden 2008.

“Dia juga menjadi penyokong kuat saya pada pilihan raya itu.

Dia menjadi Setiausaha Negara yang cemerlang selepas itu. Dia rakan saya. Dan saya fikir dia akan menjadi presiden yang hebat selepas ini,” kata Obama.

Obama berkata, apabila Hillary, isteri bekas Presiden Bill Clinton itu mengumumkan kempennya, “dia akan menjelaskan secara terperinci mengenai wawasannya berkait dengan hala tuju Amerika.”

Hillary dilapor merancang mengumumkan rancangannya itu menerusi media video dan sosial awal hari ini.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan naib presidennya Joe Biden bertanding untuk menggantikannya, Obama hanya berkata: “Bukan kerja saya meramal pilihan raya masa depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 9:29 AM