Burnley, England: Arsene Wenger menegaskan Arsenal memerlukan “kemenangan sempurna” bagi mengintai peluang mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Kemenangan 1-0 ke atas Burnley di laman lawan kelmarin menjadikannya lapan kemenangan liga berturut-turut buat Gunners kali pertama sejak musim menakjubkan 2003-04.

Musuh London, Arsenal kini muncul pencabar terkuat Chelsea berikutan prestasi mengagumkan mereka akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, Wenger yang mengambil pendekatan berhati-hati berkata: “Tiada sebarang perubahan, kami perlukan kemenangan sempurna dan kami juga mahukan Chelsea melakukan kesilapan tapi kami tidak boleh menentukannya, kami hanya boleh menentukan kedudukan sendiri.

“Kami mahu terus menang kerana kami perlu melihat pasukan di belakang kami Manchester United dan Manchester City,” kata pengendali veteran dari Perancis itu.

“Saya fikir kami menang 15 daripada 17 perlawanan terakhir jadi hakikatnya kami konsisten.

“Apabila anda lihat jumlah pemain yang kami miliki pada permulaan musim, kami sebenarnya hanya mendapat semula skuad penuh sejak Januari lalu dan ia mencetus perubahan.

“Kami mahu fokus perlawanan berikutnya dan melakukan sebaik mungkin bagi penamat mantap.”

Gol kesembilan Aaron Ramsey buat kelab itu musim ini sudah cukup membantu Arsenal meraih mata maksimum menentang Burnley, yang terlepas peluang keluar daripada zon penyingkiran. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 8:08 AM