Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Jaringan minit terakhir pemain gantian Muhammad Farhan Roslan memastikan Kedah mencipta kemenangan 2-1 menewaskan Johor Darul Ta’zim II pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Seawal minit pertama, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak menunggu lama untuk menguji benteng pertahanan Johor DT II apabila Baddrol Bakhtiar bertindak melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti hampir memerangkap penjaga gol, Mohd Anis Faron Ahmad Arsidi yang sempat menguis bola keluar.

Namun kealpaan benteng pertahanan tuan rumah mudah dihukum pelawat selang tiga minit kemudian berpunca daripada bola sepakan sudut Baddrol ditanduk Bang Seung Hwan membuka ruang kepada Chidi Edeh untuk merembat bola menewaskan Mohd Anis Faron.

Tersentak dengan gol awal itu, anak didik Goran Paulic mula menggandakan asakan memburu gol penyamaan namun pada minit ke-12 peluang terhidang yang dimiliki Leandro Velazquez terlepas begitu saja selepas cuba menyambar bola gagal ditangkap kemas penjaga gol, Abdul Hadi Abdul Hamid.

Abdul Hadi menjadi penghalang utama buat Johor DT II untuk mencipta jaringan ketika aksi memasuki minit ke-34 menerusi percubaan Nicolas Delmonte ditampan penjaga gol pelawat dan rembatan susulan kapten Shahril Ishak masih belum mampu merobek gawang skuad Helang Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 8:05 AM