AFP

London: Jose Mourinho mencabar pasukan bintang Chelsea supaya lebih dulu menuju ke garisan penamat dalam perlumbaan kejuaraan Liga Perdana Inggeris ketika mereka bersiap sedia bagi pertembungan jiran setempat barat London menentang QPR, malam ini.

Anak buah Mourinho mendahului tujuh mata di depan pasukan tangga kedua Arsenal, dengan kelebihan tambahan kerana beraksi kurang satu perlawanan dan kemenangan di Loftus Road malam ini akan membantu mereka menghampiri impian dinobat juara Inggeris buat kali pertama sejak 2010.

Blues memerlukan 15 mata daripada baki lapan perlawanan mereka bagi memastikan kejuaraan kembali ke Stamford Bridge dan Mourinho mahu melihat trofi itu dipastikan secepat mungkin.

Namun pengendali Portugis itu sedar apa yang menanti mereka dengan jangkaan disambut ejekan apabila berkunjung ke QPR sebelum pertemuan genting dengan Manchester United dan kemudian Arsenal.

“Kini hanya lima kemenangan atau empat menang dan dua seri,” kata Mourinho.

“Apa-apa mata yang diraih menentang QPR akan meningkatkan kedudukan kami, tapi kami memerlukan mata.

“Setiap pasukan dengan kurang 21 mata berbanding kami secara matematiknya masih dalam perebutan kejuaraan.”

Ketika QPR yang bermasalah, kini ketiga tercorot dan dua mata berbanding zon selamat, turut terdesak untuk meraih mata, pasti anak buah Mourinho berdepan keperitan pada kunjungan sulungnya ke Loftus Road.

Ditanya jika pasukannya akan berdepan layanan buruk penyokong QPR, Mourinho berkata: “Itulah yang diberitahu kepada saya. Saya tidak pernah berada di sana, saya tidak tahu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:12 AM