Saya mempunyai sebuah kereta Proton Gen-2 transmisi automatik keluaran 2004.

Masalah yang saya hadapi adalah lampu amaran periksa enjin (Check Engine) menyala selepas menukar gear mengikut jujukan dari ‘D’ kepada ‘3’, ‘2’ ketika memandu menaiki bukit tinggi.

Jika saya menukar gear dari ‘D’ kepada ‘3’, ia tiada masalah.

Adakah ia berkaitan kerosakan kotak gear atau masalah lain? Lampu amaran itu akan terpadam apabila saya mematikan enjin hampir lima minit sebelum menghidupkan semula. Perlukah saya melakukan penalaan semula enjin?

MOHD SAUFEE, Temerloh, Pahang

Lampu isyarat periksa enjin menandakan kereta anda mempunyai masalah dan boleh dikenal pasti dengan menggunakan peralatan pembaca PDT-2000 untuk membaca kod kerosakannya.

Sebagai panduan, jika lampu isyarat bernyala ketika penukaran gear, kemungkinan ia berkaitan pengesan pendikit.

Beberapa laman sesawang memberi panduan cara melaras semula pengesan pendikit dengan menghidupkan suis kira-kira lima minit sebelum mematikan semula.

Selain itu, tunggu seketika sebelum menghidupkan suis sambil menekan pedal minyak sepenuhnya kira-kira 10 saat sehingga mengeluarkan bunyi klik selepas pengesan pendikit merekodkan kedudukan baru itu.

Lampu itu juga mungkin bernyala akibat kandungan karbon monoksida berlebihan yang bermaksud pembakaran enjin adalah tidak betul. Malah, ada pelbagai punca yang mungkin menyebabkan lampu isyarat itu menyala.

Untuk kepastian, anda perlu memeriksa kod kerosakan dengan membawa kereta kepada pusat servis yang berkebolehan.

Perlu diingatkan, lampu gear yang berkelip adalah isyarat kerosakan kotak gear dan memerlukan perhatian segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:03 AM