Oleh Ustaz Haslin Baharin

Saya menyukai wanita berwajah cantik. Saya sering berdoa supaya diberikan isteri yang cantik wajahnya, berakhlak dan menjaga solat.

Berdosakah atau salahkah jika memohon doa sedemikian? Kadangkala terasa seperti memaksa Allah dan menghina wanita yang tiada kelebihan wajah cantik, sedangkan saya tiada niat berkenaan perkara itu.

FIRDAUS, Shah Alam, Selangor

Tiada salahnya saudara menyukai wanita yang cantik wajahnya serta berdoa untuk memilikinya. Ia tidak berdosa. Itu juga yang dimaklumkan Rasulullah melalui sabda-nya bermaksud: “Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkara yang Rasulullah titik beratkan adalah agama. Sudah pasti saudara perlu memberi penekanan lebih dalam aspek agama daripada segala-galanya sebagaimana disaran baginda.

Saudara juga harus mengetahui adab berdoa seperti tidak memaksa atau tergopoh-gapah mahu segera diperkenankan berdasarkan permintaan.

Doa juga harus umum, khuatir jika tidak diperkenankan saudara akan rasa putus asa, sedangkan semua perkara yang ditentukan itu adalah qudrat dan iradat yang ditentukan oleh Allah SWT. Manusia ditugaskan untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh, seterusnya bertawakkal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 12:44 AM