Oleh Ustaz Haslin Baharin

Apakah hukum menyimpan sesuatu dalam poket seperti dompet dan telefon bimbit ketika solat? Bolehkah bersolat dengan pakaian dengan gambar seperti tulisan, gambar haiwan suci atau haram seperti anjing, kucing dan logo jenama arak. Sah ke solat yang dilakukan?

DAUD, Ipoh

Tiada masalah dan sah solat ketika menyimpan sesuatu dalam poket seperti dompet atau telefon bimbit, selagi yang dibawa bersama itu tidak dianggap najis yang boleh membatalkan solat.

Secara keseluruhannya sebarang tulisan, gambar atau logo yang dilukis pada pakaian dan dibawa solat adalah makruh kerana gangguan kepada makmum lain. Bagi pakaian di luar solat pula, diharuskan pada pakaian yang mempunyai gambar tidak mempunyai nyawa atau roh.

Sebagaimana perkataan daripada Ibnu Abbas bermaksud: “Tidak guna engkau ini, kalau engkau hendak lukis juga, maka hendaklah engkau lukis pokok dan apa saja yang tiada roh.” (Athar R Ahmad)

Makruh berpakaian yang mempunyai gambar bernyawa. Manakala haram memakai pakaian yang mempunyai gambar yang diharamkan seperti khinzir, anjing, wanita yang terdedah aurat, logo mempromosi agama lain, arak atau benda yang diharamkan dalam Islam. Wallahualam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 12:43 AM