Bajet 2015 yang dibentangkan pada 10 Oktober lalu dilihat sebagai kesinambungan untuk mengekalkan momentum dan perkembangan dalam penggabungan fiskal bagi mengukuhkan asas dan ketahanan ekonomi negara dengan menyasarkan kepada defisit bajet lebih rendah kepada tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mencapai bajet seimbang pada 2020.

Ia bersifat pragmatik dan menyeluruh melalui pelaksanaan pelbagai pendekatan bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia menerusi pelaburan domestik dan luar negara khususnya untuk meningkatkan lagi sumbangan sektor perkhidmatan kepada ekonomi.

Bajet terakhir di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) ini memberi penekanan kepada pengukuhan momentum pertumbuhan ekonomi selain mengukuhkan tadbir urus fiskal mapan, pemerkasaan modal insan dan membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Belanjawan negara ini diformulasikan dengan fokus kepada ekonomi rakyat dan menggariskan tujuh strategi utama di mana saya akan mengulas serba sedikit mengenai empat strategi terbabit secara lebih teliti.

Pertama ialah Mengukuhkan Pertumbuhan Ekonomi di mana ekonomi negara berada pada trajektori pertumbuhan kukuh pada 2014 dibantu oleh permintaan domestik yang bertahan dan peningkatan prestasi eksport serta pemulihan ekonomi global.

Pacuan pertumbuhan ekonomi negara meningkat pada 6.4 peratus pada suku kedua di mana ia membolehkan KDNK negara berkembang pada lima hingga 5.5 peratus bagi 2014 disokong oleh perbelanjaan perniagaan dan pengguna yang tinggi di samping pertumbuhan kukuh dalam pembuatan, pembinaan dan aktiviti perkhidmatan.

Peningkatan dalam pengeluaran perkhidmatan sebagai sebahagian daripada KDNK dilihat sebagai langkah pengimbangan ekonomi yang kini masih terus berlaku. Sejak daripada itu, sektor perkhidmatan meningkat kepada hampir 60 peratus daripada KDNK dan dijangka terus meningkat pada masa depan apabila ekonomi semakin matang.

Strategi kedua iaitu Memantapkan Tadbir Urus Fiskal di mana Bajet 2015 memberi penekanan kepada pelaksanaan peningkatan kaedah dalam bajet sebelum ini termasuk dari aspek Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengurangan cukai korporat yang akan membantu mengekalkan daya saing persekitaran perniagaan negara dan daya tahan kewangan serta mengecilkan defisit fiskal.

Ia dilihat berada pada landasan baik apabila Bajet 2015 turut mengandungi pendekatan untuk membantu mengembangkan pasaran modal Islamik negara di mana Malaysia adalah pihak pertama yang melakukan langkah untuk membangunkan pasaran perbankan swasta Islamik yang belum diterokai.

Pada masa ini, Malaysia menerajui penerbitan sukuk global dengan penguasaan 63 peratus atau AS$41.7 bilion daripada jumlah keseluruhan penerbitan sukuk global dan 57.3 peratus atau AS$161 bilion daripada pengeluaran sukuk global pada separuh pertama tahun ini.

Strategi ketiga dan kelima iaitu Mengupaya Modal Insan dan Memartabat Peranan Wanita pula dilihat berkait rapat dengan saya dan pihak industri perakaunan di mana pakar kewangan bertauliah dan pemimpin perniagaan amat penting kepada pembangunan sektor perakaunan dan menyokong kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan global dan hab perniagaan.

Perubahan dalam pengimbangan kuasa ekonomi semasa kelemahan krisis kewangan global 2008/09 yang fokus kepada Asia dilihat mewujudkan landskap menarik kepada kerjaya ini di mana permintaan terhadap akauntan berkembang pesat apabila pada masa ini, terdapat 31,000 akauntan profesional di Malaysia untuk memberi perkhidmatan kepada populasi 30 juta penduduk di negara ini.

Untuk membantu negara menjadi hab peneraju perakaunan menjelang 2020, kita memerlukan galakan dan sokongan berterusan daripada kerajaan, agensi dan persatuan bagi membangun serta mengukuhkan profesional perakaunan dari perspektif pembangunan modal insan.

Kami mengalu-alukan strategi yang menggalakkan pembangunan modal insan serta meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja seperti meningkatkan kemudahan penjagaan anak-anak dengan kerjasama syarikat dan meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam syarikat kepada 52.4 peratus pada masa ini kepada 55 peratus menjelang 2015.

Selain itu, kami menyambut baik insentif kerajaan untuk syarikat yang mewujudkan pusat penjagaan anak-anak dan membenarkan sebarang perbincangan untuk kerja lebih fleksibel bagi menggalakkan lebih ramai wanita meneruskan kerjaya masing-masing.

Penulis ialah Rakan Kongsi Pengurusan KPMG Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:03 AM