Kuala Lumpur: Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB), pengendali hab logistik bersepadu untuk industri minyak dan gas di Pelabuhan Labuan, Sabah, komited untuk menjadikan pelabuhan itu sebagai salah satu hab logistik bagi industri berkenaan di negara ini selepas Pelabuhan Johor dan Kemaman, Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Datuk Harris Annuar Tan berkata, ini kerana ketika ini sebanyak 80 peratus operasi di Pelabuhan Labuan membabitkan industri minyak dan gas berikutan kedudukan strategik Wilayah Persekutuan Labuan yang terletak di sekitar kawasan operasi cari gali minyak di Sabah, Sarawak, Brunei dan Filipina.

Beliau berkata, ASB ialah operator kemudahan simpanan minyak terbesar iaitu Liquid Mud Plant di negara ini dan kelebihan ini menarik minat syarikat antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan sokongan untuk beroperasi di pelabuhan itu antaranya Baker Hughes (M) Sdn Bhd, Cameron (Malaysia) Sdn Bhd, Delcom Services Sdn Bhd, FMC Technologies, Halliburton Energy Services (M) Sdn Bhd dan Schlumberger WTA (M) Sdn Bhd.

“Kami mahu menjadi pemain utama dalam industri minyak dan gas di rantau ini dan mengalu-alukan syarikat tempatan atau antarabangsa menjalankan operasi bagi memberikan perkhidmatan sokongan kerana lebih 800 kapal beroperasi di pelabuhan ini setiap bulan.

“Operasi di pelabuhan ini amat kritikal dan penting kerana jika operasinya terjejas, ia boleh mengganggu perjalanan operasi kapal atau perkhidmatan berkaitan di seluruh dunia,” katanya kepada Bisnes Metro, baru-baru ini.

Antara syarikat minyak yang beroperasi di ASB termasuk Sabah Shell Petroleum Co Ltd, Petronas Carigali Sdn Bhd, JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Ltd, Murphy Sabah/Sarawak Oil Co Ltd, BHP Billiton Petroleum (Sabah) Corporation, Exxonmobil Exploration & Production Malaysia Inc, Lundin Malaysia B.V dan Talisman Malaysia Ltd.

Harris berkata, ASB yang beroperasi sejak 1984 di Kawasan Perindustrian Ranca-Ranca sudah melebarkan kawasan operasinya kepada 151.2 hektar daripada 138 hektar sebelum ini bagi menampung permintaan dan merancang untuk menambah jumlah keluasan tanahnya pada masa depan.

Katanya, syarikat turut menerima surat pujian daripada Ketua Menteri Wilayah Utara Australia, Adam Giles dalam lawatannya ke ASB pada 17 September lalu yang mahu menjadikan ASB sebagai contoh bagaimana industri pemprosesan minyak dan gas serta manfaat ekonomi boleh dicapai di Wilayah Utara Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:03 AM