WENGER harap anak buah kekal kerjasama sepasukan yang baik.
AFP

Burnley, England: Arsene Wenger menyesali permulaan tidak menentu Arsenal awal musim ini selepas pasukannya kini berada dalam kedudukan memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada lewat musim.

Kemenangan menakjubkan 4-1 ke atas Liverpool hujung minggu lalu melonjakkan Gunners ke tangga kedua dan jika mengatasi pasukan kedua tercorot Burnley awal pagi esok, mereka akan merapatkan kedudukan dengan pendahulu Chelsea kepada empat mata, sehari sebelum anak buah Jose Mourinho berdepan Queens Park Rangers.

Jurang antara dua pasukan teratas itu, selain Chelsea beraksi kurang satu perlawanan, bermakna Arsenal perlu melakukan sesuatu yang luar biasa bagi mengatasi musuh setempat mereka.

Namun, tidak diragui anak buah Wenger mencipta momentum mengagumkan sejak kalah kepada Southampton pada Tahun Baru apabila menang 15 daripada 17 perlawanan dalam semua pertandingan.

Ia membolehkan mereka mengatasi Manchester United dan Manchester City selain memastikan tempat mereka ke Liga Juara-Juara musim depan, namun pengurus veteran Arsenal Wenger mengakui kempen mereka terjejas kerana babak pertama musim yang hambar.

“Kami bermula buruk musim ini berbanding tahun lalu. Musim ini kami mempunyai ramai pemain yang terpaksa diketepikan empat atau lima bulan selepas Piala Dunia dan sejak kami menemui semula rentak dengan setiap pemain kembali, kami berasa mula meningkat,” katanya.

“Saya fikir kami seolah-olah bermula pada Januari kerana hampir setiap pemain boleh diturunkan. Ia membuatkan kami lebih kemas,” ujar pengendali dari Perancis itu.

“Kami mungkin mempunyai pasukan yang seimbang antara serangan dan pertahanan berbanding sebelum Januari.

“Kami berada pada prestasi yang bagus dan menariknya kami memiliki kerjasama sepasukan yang baik. Harapnya kami boleh kekalkannya hingga hujung musim ini dan lihat di mana kami berakhir.”

Penyandang juara Piala FA, Arsenal dijangka berdepan hujung musim menarik kerana mereka turut mara ke separuh akhir pertandingan kalah mati itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:28 AM