Sebagai tanda keprihatinan dan menggalakkan pembudayaan al-Quran dalam kalangan generasi muda di negara ini, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) dengan kerjasama pengeluar teknologi al-Quran Digital, Smart Rich Networks (M) Sdn Bhd (SRN Sdn Bhd) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Kebajikan Pelajar-Pelajar Tahfiz Malaysia (TAHFIZ), Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Seluruh Malaysia (PEYATIM) dan Teratak Che Dah mengadakan Majlis Pelancaran Program Wakaf Al-Quran Digital.

Program itu bagi mengumpul dana untuk membeli al-Quran Digital bagi disumbangkan kepada kumpulan asnaf, rumah anak yatim dan sekolah tah­fiz di seluruh negara.

Majlis Pelancaran Program Wakaf Al-Quran Digital itu disempurnakan Naib Pengerusi PERDASAMA Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan. Turut hadir, wakil daripada PEYATIM, TAHFIZ, Teratak Che Dah dan SRN.

Menurut Sohaimi, sumbangan itu tidak tertumpu kepada golongan individu saja, malah turut membabitkan syarikat korporat untuk menunaikan tanggung­jawab sosial (CSR) mereka menghulurkan sumbangan.

Beliau berkata, mereka boleh menggunakan bajet CSR atau zakat bagi merealisasikan objektif utama persatuan itu iaitu menggalakkan pembudayaan al-Quran di kalangan generasi muda negara ini.

“Pemilihan al-Quran Digital dalam kempen Wakaf al-Quran ini amat bersesuaian kerana al-Quran digital ini direka khas supaya lebih interaktif, mesra pengguna dan mampu menarik minat semua lapisan masyarakat.

“Ia secara tidak langsung dapat memupuk minat membaca al-Quran di kalangan masyarakat sekaligus membudayakan kitab suci itu dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sohaimi meletakkan sasaran jumlah kutipan sumbangan menerusi program Wakaf al-Quran Digital ini sebanyak 1,000 unit dalam tempoh empat bulan.

Sumbangan ikhlas itu boleh disalurkan ke Tabung Wakaf Al-Quran Digital (Maybank 1627 4013 5601) sehingga 30 Jun 2015.

“Satu majlis penyerahan sumbangan Wakaf al-Quran Digital diadakan Ramadhan ini.

“Kami akan menyerahkan kepada PEYATIM, TAHFIZ dan Teratak Che Dah untuk diagihkan kepada rumah anak yatim di bawah PEYATIM, Sekolah Tahfiz di bawah TAHFIZ dan penghuni Teratak Che Dah,” katanya.

Hubungi Ameer Firdaus (019-2174110) atau Anne (019-2445438) untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 12:53 PM