Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Mei ini sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin (P0.91) manakala tarikh penamaan calon pada 22 April ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pengundian awal ditetapkan pada 30 April dan dianggarkan RM1.91 juta diperlukan bagi melaksanakan PRK berkenaan.

Katanya, seramai 53,924 pemilih berdaftar membabitkan 52, 744 adalah pemilih biasa; 545 pemilih awal dan lima pengundi tidak hadir luar negara akan menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan sehingga Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2014 dan dikemas kini sehingga 4 April 2015.

"Kami akan menggunakan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Rompin sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

"Sebanyak 42 pusat mengundi akan dibuka bagi tujuan pengundian," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Ibu Pejabar SPR di sini, sebentar tadi.

Kekosongan kerusi Parlimen Rompin berlaku berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis Sabtu lalu, yang terbunuh dalam nahas helikopter jenis AS365N2 Dauphin di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor.

Selain Jamaluddin, tragedi itu turut mengorbankan lima yang lain termasuk Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang helikopter Clifford William Fournier Jr, kenalan juruterbang Aidana Baizieva, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran.

Abdul Aziz berkata, sebanyak 35 sekolah dan tiga balai raya atau dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang

mempunyai 119 saluran tempat mengundi.

Menurutnya, seramai 987 petugas pilihan raya akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin yang juga Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengekalkan kerusi kawasan itu yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 11:28 AM