Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) melancarkan program pendidikan pelaburan dan menyertai perdagangan bursa saham sebagai gaya hidup, BursaMKTLC CELEB.TRADR dengan kerja sama selebriti dan rakan broker.

Program itu membabitkan lapan selebriti tempatan iaitu Atilia Haron, Cheryl Samad, Nik Micheal Imran, JJ Fernandez, Siti Saleha, Henley Hii, Yasmin Hani dan Nazril Nash yang mana mereka akan dibimbing oleh rakan broker dikenali sebagai ketua pendapat mengenai cara pelaburan pasaran saham.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tajuddin Atan berkata, ketua pendapat akan membantu selebriti membangunkan strategi dagangan, mempelajari bagaimana untuk berdagang dan menjadi pelabur yang yakin kemudian aktiviti itu dikongsi di dalam BursaMarketPlace.com, Twitter dan Instagram.

Beliau berkata, kerjasama itu dapat membantu menarik dan mendidik golongan muda menyertai pelaburan dalam pasaran saham.

“Pelaburan di pasaran saham adalah antara cara untuk membantu rakyat Malaysa meningkatkan ekonomi negara dan ini adalah cara yang dilaksanakan oleh Bursa Malaysia serta BursaMarketPlace untuk menggalakkannya.

“Kami akan meneruskan kegiatan untuk membuka peluang serta mendidik pelabur baru bagi menjana idea dalam pelaburan yang boleh didapati di BursaMarketplace,” katanya pada majlis pelancaran BursaMKTLC CELEB.TRADR, semalam.

Semua selebriti berkenaan mendapat tajaan modal pelaburan RM15,000 seorang dari broker yang mana ia akan digunakan untuk dagangan saham.

Lima broker yang terbabit dalam kerjasama program BursaMKTLC CELEB.TRADR ialah CIMB Investment Bank, Malacca Securities, Maybank Investment Bank, Oriental Pacific Futures dan TA Futures.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 10:30 AM