ISU doping Mohd Firdaus (tengah) belum selesai.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu doping membabitkan pelumba trek negara Mohd Shah Firdaus Shahrom sehingga kes berkenaan selesai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Ramlan Abd Aziz, ia juga merujuk kepada kod 14.3.5 Agensi Anti Doping Dunia (WADA) yang tidak membenarkan sebarang kenyataan secara terbuka mengenai fakta kes yang masih belum selesai.

“Buat masa ini, ADAMAS tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes tersebut sehingga kes selesai,” kata Ramlan menerusi kenyataan dikeluarkan semalam.

Arena Metro semalam melaporkan jurulatih skuad berbasikal Johor Firdaus Daud mempersoalkan kelewatan keputusan doping membabitkan pelumba kendaliannya, Shah Firdaus yang diambil pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis pada Mei tahun lalu.

Keputusannya hanya dimaklumkan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada 27 Februari lalu dengan pelumba berkenaan disahkan positif menggunakan bahan terlarang iaitu dexamethasone sekali gus berdepan penggantungan sehingga dua tahun.

Menjelaskan lebih lanjut Ramlan berkata, ADAMAS mengambil sampel air kencing pelumba berkenaan pada 31 Mei tahun lalu yang kemudiannya dihantar ke makmal diiktiraf WADA di New Delhi, India.

“Pihak ADAMAS akan hadir sebagai pemerhati ketika sesi pendengaran berlangsung di Ipoh esok (hari ini). Segala makluman perubatan ISN akan dikemukakan ketika sesi pendengaran itu nanti,” tambahnya.

Menurutnya, ADAMAS harus telus dan mematuhi peraturan ditetapkan WADA dalam menangani sesuatu masalah membabitkan kes doping atlet tetapi pada masa sama, semua pihak perlu menghormati sesuatu yang berlaku supaya rahsia atlet terpelihara mengikut etika perubatan dan profesionalisme.

Nasib Shah Firdaus dijangka diketahui hari ini selepas sesi pendengaran yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Anti Doping (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill bersidang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 9:53 AM