MOHD Firdaus Mohd Faridul dipenjara selama 18 tahun. FOTO Amran Hamid
Oleh Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, sebentar tadi, atas kesalahan menyebabkan kematian seorang remaja perempuan di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, di sini, dua tahun lalu.

Hukuman berkenaan dikenakan terhadap Mohd Firdaus Mohd Faridul, 20, berkuatkuasa daripada tertuduh ditahan pada 15 Januari tahun lalu.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja T dan seluar jeans hitam kelihatan tenang sebaik Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Kah Sing menjatuhkan hukuman.

Mohd Firdaus sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, pada 26 Mac lalu tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) KK yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:50 PM