TAN Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semasa sidang media Pilihan Raya Kecil Parlimen P.044 Permatang Pauh. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Mei ini sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) P044 Parlimen Permatang Pauh, Pulai Pinang.

Selain itu, penamaan calon pula ditetapkan pada 25 April dan pengundian awal pada 3 Mei.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kerusi Parlimen Permatang Pauh diumumkan kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau.

"Pada 16 Mac lalu, Lembaga Pengampunan Diraja menolak rayuan anak dan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah dan dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan 10 Mac lalu kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Katanya, sehubungan dengan itu, selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan memutuskan bahawa wujud kekosongan luar jangka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 1:02 PM