WANITA bimbang penambahan otot akan membuatkan
Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my

Banyak perkara boleh dilakukan dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan diri. Untuk mengurangkan berat badan, kita memberi lebih perhatian kepada senaman.

Andai tenaga yang jadi fokusnya, kita cuba mengurangkan tekanan dengan mendapatkan tidur yang cukup. Apabila diri sentiasa keletihan hingga kesannya terpancar pada kulit, kita cenderung mengubah gaya hidup dan mula menjaga pemakanan.

Bagaimanapun, ada kepercayaan atau kefahaman kita mengenai tip menjaga kesihatan ini sebenarnya berlawanan dengan apa yang ditawarkannya.

Antaranya:

Minum kopi untuk mendapatkan tidur seketika yang lebih berkualiti.

Dalam satu kajian di Jepun yang menguji bagaimana mendapatkan tidur seketika yang berkualiti, ramai responden menyarankan elakkan minum kopi.

Namun minum 200mg kopi (sama jumlahnya dengan satu atau dua cawan kopi) lalu tidur seketika selama 20 minit akan membantu tubuh memberi lebih tumpuan kepada tugasan berbanding mereka yang sekadar tidur.

Biasanya kafein hanya mula bertindak 20 minit selepas diminum, justeru tidur seketika yang berakhir selepas 20 minit berupaya membantu otak memberi lebih tumpuan apabila melakukan aktiviti selepas itu.

"Adenosin yang dibebaskan daripada otak akan membuatkan otak lebih 'terjaga' lalu lebih peka dengan aktiviti seterusnya.

"Apabila tahap adenosin meningkat, ia membuatkan kita lebih penat dan hilang kepekaan. Tidur seketika membebaskan adenosin itu tapi apabila ditambah dengan kafein, pembebasan molekul itu lebih efektif," jelas Dr Allen Towfigh dari Pusat Neurologi New York.

Untuk mendapatkan gigi dan gusi yang sihat, jangan memberusnya selepas makan.

Jangan berus gigi selepas makan atau minum terutama jika hidangan itu jenis berasid.

"Makanan berasid antaranya buah sitrus, minuman tenaga, tomato dan soda-berupaya melembutkan enamel gigi dan kesannya seperti batu pasir yang basah," ujar Howard R Gamble, mantan presiden Akademi Pergigian Amerika Syarikat.

Memberus gigi pada tahap ini boleh mempercepatkan kesan asid pada enamel dan mengikis lapisan di bawahnya.

Gamble mencadangkan tunggu antara 30 hingga 60 minit sebelum memberus gigi.

Untuk menggayakan pakaian bersaiz lebih kecil, tambahkan sedikit berat.

Menambah berat dalam konteks ini merujuk kepada penambahan berat otot. Bayangkan dua wanita dengan berat badan 70kg. Seorang melakukan senaman biasa sementara seorang lagi memilih senaman mengangkat bebanan.

Wanita yang mengangkat bebanan itu kemudiannya boleh menyarungkan pakaian yang sama dipakai wanita dengan berat badan 60kg.

Jelas Pengarah Kecergasan Saco Sport & Fitness di Maine, Amerika Syarikat, Mark Nutting, walaupun 500g lemak mempunyai berat yang hampir sama dengan 500g otot, otot tidak memerlukan banyak ruang.

"Ia akan membuatkan otot lebih besar dan bentuk tubuh yang lebih kecil jika lemak berjaya disingkirkan. Ramai wanita bimbang penambahan otot akan membuatkan penampilan mereka tampak sasa tapi itu hanya berlaku apabila lemak tidak disingkirkan dan otot dibina di atasnya," katanya.

Sebaiknya kurangkan pengambilan kalori dan tambah bebanan ketika melakukan senaman.

Jangan ambil minuman tenaga apabila keletihan

Minuman tenaga mengandungi lima kali kafein berbanding kopi, namun tenaga yang diberikannya memberikan efek pantas, selain kesan sampingan yang tidak menyenangkan seperti rasa tidak selesa, cepat marah dan denyutan jantung yang lebih cepat.

Tambahan pula, minuman tenaga kebanyakannya mengandungi taurina yang tinggi, iaitu perangsang sistem saraf pusat serta 50g gula pada setiap tin (sama jumlahnya dengan 13 sudu teh gula).

Bahan manis di dalamnya akan meningkatkan tahap gula dalam darah dengan pantas sebelum kembali normal hingga membuatkan kita rasa lebih lemah hingga memerlukan satu tin lagi minuman tenaga.

Ambil minuman panas untuk menyejukkan diri

Mana satukah yang dapat menyejukkan diri lebih pantas di bawah terik matahari: kopi panas atau berais?

Dua kajian mendapati minuman panas berupaya menyejukkan diri dan disebabkan itulah kebiasaan minum teh hangat ketika cuaca panas di India menjadi kebiasaan penduduknya.

Apabila kita menghirup minuman panas, tubuh memberi isyarat kepada perubahan suhu dalaman lalu meningkatkan pengeluaran peluh.

Dan peluh ini seterusnya disejat daripada kulit, sekali gus menyejukkannya secara semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 4:55 AM