ANAK yang mempunyai bapa proaktif dalam proses pembesaran terbukti lebih bijak.
PERANAN mendidik anak tidak tertumpu kepada si ibu saja.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Setiap pasangan suami isteri mengimpikan keluarga bahagia dengan dikurniakan cahaya mata yang bukan saja bijak, malah boleh dibanggakan sebagai waris keturunan.

Tugas mendidik anak bukan hak mutlak si ibu, tetapi ia perlu sama dipikul oleh si ayah sesuai dengan kedudukannya sebagai ketua keluarga. Ini kerana corak pendidikan yang diterapkan ibu berbeza dengan pendekatan ayah di mana kedua-duanya saling melengkapi.

Menurut jurulatih keluarga yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Smart Parents Network Sdn Bhd, Zaid Mohamad, terdapat banyak kaedah di mana golongan bapa boleh membabitkan diri secara langsung dan positif di dalam proses membesarkan anak terutamanya di tahun awal pembesarannya.

“Dulu ia semacam satu kepantangan untuk si bapa terbabit secara langsung di dalam proses ini kerana kebanyakan budaya dan cara hidup di Asia yang meletakkan peranan bapa sebagai seorang ketua keluarga hanyalah untuk mencari rezeki. Jarang sekali bapa terbabit dalam urusan harian rumah tangga termasuk membesarkan anak.

“Tetapi kini, zaman sudah banyak berubah. Bapa moden mahu terbabit secara langsung dan aktif dalam hal ehwal membesarkan anak mereka,” ujarnya.

Zaid berkata, terlalu banyak faedahnya sekiranya si bapa terbabit secara langsung dalam proses itu, antaranya ia dapat meringankan beban dan tekanan kepada si ibu terutama bagi ibu yang bekerjaya.

“Ini amat baik kerana ibu yang tertekan dalam me­nguruskan kerja di pejabat dan di rumah akan memberi kesan negatif kepada keluarga. Tiada siapa dapat menafikan bahawa emosi ibu mempunyai pengaruh besar terhadap kesejahteraan keluarga khususnya dalam pembesaran anak-anak.

“Dalam masa sama, si bapa juga berpeluang untuk meningkatkan tahap hubungan dengan si anak berkali ganda banyaknya. Kajian menunjukkan anak yang mana si bapanya membabitkan diri secara langsung akan menjadi jauh lebih pintar daripada anak yang tidak mendapat peluang seperti itu,” katanya.

Menurut Zaid, di dalam kajian bertajuk Faedah Tersembunyi Apabila Bapa Terbabit Membesarkan Anak, Garret D Evans dan Kate Fogarty dari Universiti Florida merumuskan, anak-anak yang bapanya terbabit secara langsung akan menikmati faedah berikut:

- Mereka biasanya akan mendapat markah yang lebih tinggi berbanding pelajar lain.

- Mereka lebih berjaya di dalam karier masing-masing.

- Mereka akan lebih mudah berkawan dan menangani masalah sosial dengan lebih baik. Ini kerana si bapa secara tidak langsung mengajar anak mereka untuk menjadi seorang yang lebih prihatin, yakin, mampu mengawal diri, seimbang secara psikologi dan mempunyai kemahiran bersosial.

- Bagi anak lelaki, mereka kurang bermasalah dari segi tatatertib, disiplin dan kelakuan, terutama ketika remaja.

- Bagi anak perempuan, mereka kurang bermasalah dari segi tekanan mental sewaktu remaja seperti tekanan daripada rakan, pergaulan bebas dan pandai menyesuaikan diri dalam suasana baru.

Zaid berkata, perkara itu juga benar walaupun si bapa sudah berpisah dengan isterinya, asalkan si bapa meneruskan usahanya untuk terus meluangkan masa bersama anak-anak secara aktif dan positif.

“Oleh sebab itu, golo­ngan bapa perlulah mengambil langkah untuk menjadi seorang yang bertanggung­jawab bagi mencapai objektif diinginkan terutama dalam pembesaran anak-anak,” katanya.

Antara perkara bapa boleh lakukan adalah:

- Menukar lampin bayi, ini boleh menggalakkan perhubungan terus menerus dengan bayi.

- Menggosok gigi mereka apabila mereka sudah besar sedikit.

- Menyediakan mereka untuk tidur sambil membaca buku cerita setiap malam.

- Memberikan banyak ciuman dan pelukan mesra kepada anak.

- Bermain dan meluangkan banyak masa berkualiti dengan anak tanpa gangguan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 12:05 PM