Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara akan melaksanakan sistem dikenali sebagai purata nilai gred kumulatif (CGPA) bersepadu dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi bagi memastikan graduan dilahirkan cemerlang dalam akademik, kokurikulum serta nilai diri.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ketika ini, pencapaian pelajar hanya diukur berdasarkan akademik iaitu melalui CGPA diperoleh hasil ujian dilalui.

Katanya, jika ini diteruskan, ia mungkin tidak mampu membantu merealisasikan objektif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang mahukan graduan supaya holistik, berkemahiran serta mempunyai nilai diri tinggi.

Idris berkata, CGPA bersepadu ini membabitkan kecemerlangan akademik,sahsiah, kokurikulum selain sosial dan akan dijadikan penanda aras kepada graduan sama ada mereka lulus cemerlang atau sebagainya.

Menurut Idris, belum ada acuan tentang CGPA bersepadu ini namun pengurusan IPTA sedang melakukan analisis untuk mengukur keberkesanannya.

Idris berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 'UKM Career Expo 2015' di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 12:00 PM