PEMAIN Pahang meraikan jaringan Hafiz (dua kiri).
Oleh Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Juara bertahan, Pahang mengumpul bekalan selesa selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0 pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darulmakmur malam tadi.

Kejayaan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu seakan sudah tergambar sebaik perlawanan bermula menerusi asakan bertali arus yang dijana Dickson Nwakaeme dan Matias Conti.

Di depan penyokong sendiri, Pahang melakukan asakan sejak wisel dibunyikan dan Nwakaeme hampir memberikan pendahuluan pada minit ke-4 tetapi tandukan penyerang Nigeria itu berjaya ditepis penjaga gol pelawat, Mohd Remezy Che Ros.

Di sebalik acahan Nwakaeme dan Conti, pemain tengah Mohd Hafiz Kamal tampil mencuri tumpuan untuk meletakkan skuad Tok Gajah di depan hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-7.

Dua minit kemudian, penyerang Harimau Kumbang, Alberto Goncalves Da Costa hampir menyamakan kedudukan tetapi rembatannya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Khairul Azhan Mohd Khalid.

Pada minit ke-13, Nwakaeme menceriakan penyokong Tok Gajah menerusi gol kedua selepas pantas membuat susulan apabila bola terkena tiang gol hasil sepakan percuma Mohd Hafiz singgah di kakinya.

Penyerang Pulau Pinang Mohd Azrul Ahmad mensia-siakan peluang terbaik yang terhidang pada minit ke-26 apabila rembatannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar walaupun Khairul Azhan sudah tertewas.

Sebaik permainan babak kedua bersambung, Pulau Pinang berusaha mencari jaringan tetapi pergerakan mereka sering dipatahkan pertahanan Pahang.

Usaha keras Pulau Pinang hampir memberikan hasil pada minit ke-59 menerusi pemain gantian Hilton Mauro Moreira tetapi rembatan leret pemain import itu turut tersasar.

Pahang tidak ketinggalan menyerang untuk menambah kelebihan tetapi benteng pelawat mudah menyekat setiap asakan yang cuba diatur gandingan penyerang tuan rumah.

Perlawanan kedua suku akhir bakal berlangsung di Stadium Bandaraya pada 22 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 9:33 AM