Oleh Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Terengganu menempah laluan berliku untuk melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Corak permainan hambar dipamerkan kedua-dua pasukan kerap dicemuh kira-kira 12,000 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan itu.

Percubaan terbaik tuan rumah hanya hadir pada minit ke-18 menerusi pemain tengah Muhd Fakhrurazi Musa dan penyerang import Paulo Rangel selang lima minit kemudian.

Selepas dua percubaan itu, pasukan pelawat memperkemaskan asakan dan hampir berada di depan namun tandukan Charles Souza Chad pada minit ke-28 dan tendangan leret pemain itu 10 minit kemudian berjaya dinafikan penjaga gol.

Ketika permainan babak pertama berbaki seminit untuk ditamatkan, pemain pertahanan tuan rumah Mohd Zuber Mohd Azmi tertampan bola ke dalam gawang sendiri untuk gol pertama Perak.

Terdesak memburu gol penyamaan, Terengganu memasukkan Abdul Manaf Mamat pada separuh masa kedua untuk menajamkan serangan namun gagal menemui penyudah.

Keghairahan skuad Penyu melakukan asakan membawa padah apabila pemain tengah Ismail Faruqi Ashari dilayangkan kad merah pada minit ke-55 selepas mengasari G Mugenthirran.

Pasukan tuan rumah yang bermain 10 orang ternyata tidak putus asa dan terus mengasak serta hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-66 namun rembatan Rangel sekadar singgah di palang.

Berselang dua minit, pasukan pelawat sepatutnya berjaya menambah jaringan menerusi Ahmad Sukri namun sepakan pemain itu berjaya dihalang penjaga gol.

Pemain import Terengganu Vincent Bikana hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-92 namun tandukannya terkena palang.

Hasrat Terengganu mencari gol penyamaan akhirnya berjaya apabila Rangel yang dijatuhkan, menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 9:26 AM