ARIF

Kuala Lumpur: Pemain bebas Mohd Arif Latif mara ke undian utama kejohanan badminton Siri Super Terbuka Singapura, namun Liew Daren sekali lagi berdepan kesukaran menundukkan pemain India dan tersingkir.

Arif yang kini mewakili Akademi Sports Affairs bangkit daripada prestasi buruk di Siri Super Premier Terbuka Malaysia dengan mara ke undian utama selepas memenangi kedua-dua perlawanan kelayakan semalam.

Pada aksi pertama, Arif mengalahkan Vladimir Ivanov dari Rusia, 21-12, 21-6 sebelum menumbangkan pemain Singapura, Derek Wong Zi Liang 21-12, 21-16.

“Saya hanya bermain seperti biasa dan belum berada pada tahap 100 peratus kerana masih lagi bergelut dengan kecederaan paha,” katanya semalam.

Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata, kecederaan itu menghantuinya sejak Terbuka Malaysia tetapi tidak menghalangnya untuk mara ke undian utama.

“Saya harap dapat melakukan yang terbaik esok (hari ini),” katanya yang akan bertemu Simon Santoso pada pusingan pertama hari ini.

Sementara itu, Daren terus kempunan mara ke undian utama apabila tumpas kelayakan pertama kepada Ajay Jayaram 13-21, 21-14, 17-21.

Ini kali kedua pemain BAM itu kalah kepada Ajay tahun ini. Kali pertama pada Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia Januari lalu dan rekod pertemuan mereka kini 2-2.

Turut terkandas di pusingan kelayakan seorang lagi pemain bebas Zulfadli Zukiffli namun dia beraksi cemerlang perlawanan pertama mengalahkan Suppanyu Avihingsanon (Thailand) 19-21, 23-21, 21-16.

Perlawanan kedua menyaksikan Zulfadli menarik diri ketika ketinggalan 11-6 kepada pemain dari India, B Sai Praneeth.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 9:19 AM