Seorang sami diislamkan oleh Rahim. FOTO Nazri Abu Bakar
Oleh Nazri Abu Bakar
am@hmetro.com.my

Melaka: "Hidayah untuk saya memeluk Islam sudah lama dirasai. Ia bermula ketika saya membaca kitab mengatakan bahawa jika ada agama selepas ajaran yang dianuti saya membawa kebaikan dan kebenaran, maka ikutlah agama itu," kata seorang sami yang memeluk Islam di Masjid Cina Negeri Melaka di Krubong di sini, petang kelmarin.

Saudara baru berusia 66 tahun yang enggan identiti didedahkan itu diIslamkan oleh Penaung Persatuan Cina Islam Malaysia (MACMA) Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik sambil disaksikan Pengerusi MACMA Melaka Lim Jooi Soon.

Sami berasal dari Johor yang berpengalaman selama 28 tahun sebagai sami di Taiwan itu berkata, dia begitu berminat mengetahui perkembangan ajaran Islam dan hatinya terbuka untuk agama itu selepas berbincang mengenai topik mengenali Tuhan tiga minggu lalu.

Sementara itu, Rahim berkata, kebenaran Islam yang ternyata berbeza memikat sami itu memeluk Islam.

Katanya, usaha itu memperlihatkan perkembangan syiar Islam yang baik di negara ini.

"Kaum Cina adalah kaum yang begitu strategis. Mereka berkebolehan dalam pelbagai bidang, terutama ekonomi dan apabila adanya pendakwah menyebarkan Islam dalam kalangan mereka, saya rasa ia satu usaha begitu murni dan mulia.

"Kita berasa amat terharu dalam keadaan Islam digembar-gemburkan dengan imej yang negatif di sisi media barat, namun MACMA Melaka boleh melahirkan usaha pengislaman membabitkan seorang sami yang ternyata bukan satu tugas mudah," katanya.

Pada majlis itu juga, seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berasal dari Pulau Pinang, Teoh Boon Khoon turut memeluk Islam.

Mengikut rekod, sejak 1990, seramai 4,251 orang saudara baru memeluk Islam di Melaka dan daripada jumlah itu, 760 daripadanya berketurunan Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 5:57 PM