Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Gombak: Seorang penjenayah yang amat dikehendaki polis maut dalam kejadian berbalas tembakan di Ulu Yam, di sini, kira-kira 1.30 pagi tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya yang memaklumkan kejayaan itu hasil tindakan pantas Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor.

Dalam kejadian itu, suspek membawa kereta model Proton Saga dikatakan bertindak ganas apabila merempuh kenderaan pasukan polis yang cuba menahannya untuk pemeriksaan

Menurut sumber polis, terdesak ingin melarikan diri suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis sebelum dibalas yang mengakibatkan kematian suspek berusia 30 tahun di tempat kejadian.

Sumber itu memberitahu, turut ditemui sepucuk pistol model Smith and Wesson .22 Calibre selain parang, topeng ski dan dua sarung tangan di dalam kereta suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 5:30 PM