KANAK-kanak teruja menanam pokok.
DR Abdul Rahim (dua dari kiri) dan Dr Abdul Latif (tiga dari kiri) menanam pokok.
PESERTA bergambar kenangan sebelum menjayakan misi.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Lirik lagu Hijau nyanyian Zainal Abidin memecah kesunyian pagi.

Ia menjadi simbolik perasmian sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Taman Botani Kepong, Selangor.

Setiap rangkap lagu yang dialunkan memberi pesanan berguna kepada generasi baru seakan ‘Seruan Hijau’.

Mengingatkan penghuni bumi supaya peka dan menghargai alam sekitar.

Jika tidak dijaga, kesannya boleh dilihat untuk jangka panjang.

Akibat tangan rakus manusia, hutan akan pupus manakala alam sekitar semakin tercemar.

Selesai saja lagu Hijau, sebuah lagu patriotik berjudul Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman diperdengarkan.

Bertemakan Hutan dan Perubahan Iklim, penduduk kota dan badan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu menyahut seruan alam.

Seawal jam 8 pagi, mereka membawa misi untuk meningkatkan populasi pokok di persekitaran taman berkenaan dengan program diaturkan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE).

Antara aktiviti ialah menanam pokok, pembersihan Sungai Kroh, ‘Amazing Race’, pertandingan mewarna dan kolaj alam.

Perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) NRE, Datuk Dr Abdul Rahim Nik.

Dr Abdul Rahim turut menarik reben sempena pelancaran Setem Peringatan Ulangtahun Ke-30 FRIM.

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abdul Latif Mahmod.

Tepat jam 10 pagi, peserta dilepaskan me­ngikut kumpulan masing-masing.

Dengan sebatang cangkul, mereka dihimpunkan di tanah lapang yang ditandai sebagai Field 45 Bukit Hari, FRIM.

Paling seronok melihat telatah si cilik menanam pokok sambil diperhatikan ibu dan bapa mereka.

Tidak hirau kehadiran jurugambar, kanak-kanak kecil ini berusaha menimbus tanah dan menyiram pokok diberikan.

Di sudut lain, ramai mengambil peluang melakukan selfie untuk merakamkan detik bermakna dalam hidup.

Dengan bantuan pegawai FRIM, 300 peserta mengabadikan kenangan menanam 200 anak pokok tualang atau saintifiknya Koompassia excelsa dan buluh madu (Gigantochloa albociliata).

Ia menjadi hari cukup bermakna kepada peserta, sekali gus menggalakkan pembabitan orang ramai dalam aktiviti penanaman pokok.

Penganjurannya juga sebagai usaha pemulihan hutan yang penting bagi mengurangkan kesan perubahan iklim.

Fakta paling menarik apabila kawasan FRIM menyimpan kira-kira 120,000 tan karbon dengan kebanyakan disumbang tumbuhan di situ.

Katanya, sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat FRIM adalah program tahunan dilaksanakan sejak 2004.

“Ia bagi memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat umum terhadap kepentingan hutan dan alam sekitar.

“Menerusi program ini, FRIM dapat berinteraksi dengan pihak awam daripada pelbagai golongan umur,” katanya.

Pemilihan tema katanya sebagai usaha mengetengahkan kepentingan pemuliharaan hutan dalam menangani masalah perubahan iklim.

“Fenomena perubahan iklim adalah satu isu global yang sedang hangat diperkatakan.

“Perubahan iklim berlaku akibat pelepasan berlebihan gas-gas rumah hijau seperti karbon dioksida, metana, nitrogen oksida, hidroklorokarbon (HFC), perflorokarbon dan sulfur hexafluoride,” katanya.

FRIM satu-satunya institusi R&D hutan tropika yang menyumbang kepada pemeliharaan hutan buatan manusia.

“Kini, FRIM menjadi salah satu model penghutanan semula yang berjaya serta digasetkan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi Negara dan Warisan Kebangsaan,” katanya.

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa tahun ini agak istimewa serentak penubuhannya secara rasmi 1 Oktober 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 1:02 PM