PERTANDINGAN Kubota berhias juga menjadi tumpuan.
AZLAN merasmikan Pesta Angin Timur 2015.
Teks dan gambar Mohd Sharumnisham Shahbudin
rencana@mediaprima.com.my


Nostalgianya cukup indah untuk dikenang kembali saat tibanya musim menuai padi.

Di sana sini sarat de­ngan pelbagai aktiviti masyarakat yang menyeronokkan.

Daripada golongan kanak-kanak sehinggalah orang dewasa, ada saja aktiviti dijalankan.

Kanak-kanak riang mencari ikan di celah-celah lopak air.

Bagi orang dewasa pula mereka sibuk mengerat dan membanting padi ke dalam tong kayu beramai-ramai.

Sawah juga bertukar menjadi gelanggang ma­syarakat di kampung bermain layang-layang dan bola sementara menanti musim menanam padi seterusnya.

Namun, kini segalanya tinggal memori apabila jentera moden mula mengambil alih tugas masyarakat kampung.

Jentera ini digunakan di sawah bendang dan sistem penanaman dua kali setahun diperkenalkan oleh kerajaan.

Biarpun sudah lama berlalu, memori indah itu diimbas kembali.

Kerajaan negeri Perlis mengambil inisiatif me­ngembalikan nostalgia terbabit dengan menganjurkan Pesta Angin Timur 2015, baru-baru ini.

‘Angin Timur’ bermaksud musim timur yang membawa angin yang agak sejuk antara bulan Disember hingga Mac setiap tahun.

Ia sangat unik kerana Perlis mempunyai cuaca yang agak panas di Malaysia sepanjang tahun.

Justeru, kedatangan angin timur ini sentiasa dinanti-nanti oleh petani melakukan pelbagai ativititi kemasyarakatan.

Melihat kepada potensi ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis dengan kerjasama Pejabat Pelancongan Negeri Perlis serta kerajaan negeri Perlis mula menganjurkan acara ini tiga tahun yang lalu.

Pelbagai acara diadakan sepanjang dua hari pesta ini berlangsung.

Antara yang menarik perhatian adalah gusti lengan dan perlumbaan kerbau besi.

Dulu kerbau digunakan untuk membajak dan di­adakan perlumbaan kerbau selepas musim menuai, namun peranannya pada zaman moden kini diambil alih oleh kubota yang digelar kerbau besi.

Malah, ketika berucap merasmikan Pesta Angin Timur Perlis 2015 di Kampung Sungai Berembang itu, Menteri Besar Perlis, Azlan Man berharap dapat menjadikan lumba kerbau besi ini sebagai identiti negeri Perlis.

Di samping itu, pelbagai acara tradisional lain turut diadakan seperti memancing ikan puyu, menang­kap itik dan pertandingan wau dalam sawah.

Pada tahun ini juga hampir 70 agensi kerajaan dan swasta turut mengambil bahagian mengadakan pameran untuk tatapan pengunjung.

Sememangnya usaha kerajaan negeri Perlis ini harus disokong oleh semua pihak supaya nostalgia ini tidak dilupakan begitu saja, sekali gus menjadi satu tarikan pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 12:49 PM