Sunderland: Dick Advocaat menganggap jaringan menakjubkan Jermain Defoe pada pertembungan jiran setempat Wear-Tyne mampu menyemarakkan harapan Sunderland kekal beraksi pada Liga Perdana musim depan.

Advocaat meraih kemenangan sulungnya sejak ngambil alih hingga hujung musim ini daripada Gus Poyet berikutan jaringan voli mengagumkan Defoe dari jarak 20 meter pada minit terakhir babak pertama menentang Newcastle, kelmarin.

Jaringan cemerlang penyerang berusia 32 tahun itu melonjakkan Black Cats kembali ke tangga ke-15 dan tiga mata di depan zon penyingkiran dengan baki tujuh perlawanan.

Advocaat, pasukannya berdepan Crystal Palace di Stadium of Light Sabtu ini, berkata: “Jermain menerima gaji untuk menjaringkan gol. Ia hanya kemenangan pertama saya. Kami perlu menang hari ini kerana terlalu banyak tekanan buat pasukan.

“Saya berasa sesuatu yang istimewa apabila kami tiba di stadium dengan cara penyokong melayan kami. Ini membantu kami dalam usaha keluar daripada kelompok tiga tercorot pada 24 Mei ini.

“Saya menyatakan kepada Steven Fletcher, ‘ini masanya melakukan sesuatu’. Saya berkata kepada Defoe ‘perlukah saya kata sesuatu kepada anda’? Dia berkata ‘tidak, saya tahu apa yang perlu dilakukan’.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:33 AM