KEMUSNAHAN yang berlaku di kem pelarian Palestin Yarmouk, berhampiran Damsyik selepas diserang oleh militan IS sejak beberapa hari lalu.

Beirut: Sebuah kem pelarian Palestin di Damsyik terus menjadi sasaran serangan militan Negara Islam semalam, kejadian yang diselar sebagai tidak berperikemanusiaan oleh pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Aktivis Hatem al-Dimashqi yang berpangkalan di selatan Damsyik berkata, kem Yarmouk diserang semalam. Hatem dan Badan Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) berkata, tentera kerajaan Syria turut melepaskan bom tong di kem itu sejak Ahad.

Militan Negara Islam (IS) menyerbu kem itu Rabu lalu. Pihak berkuasa Palestin dan aktivis Syria berkata IS turut bekerjasama dengan Barisan al-Nusra.

Dua kumpulan itu sebelum ini bersaing, namun nampaknya bekerjasama dalam serangan ke atas Yarmouk.

Barisan al-Nusra dalam satu kenyataan berkata, ia berkecuali berhubung isu kem itu.

Sementara itu, jurucakap Agensi Bantuan dan Pekerjaan bagi pelarian Palestin (UNRWA) Chris Gunness berkata, sehingga lewat kelmarin pihaknya tidak dapat menghantar makanan atau konvoi ke kem berkenaan sejak pertempuran bermula.

“Mereka di kem itu tiada makanan, air dan kekurangan bekalan ubat.

“Keadaan di kem itu terlalu menyedihkan, orang ramai terpaksa berlindung di dalam rumah sementara pertempuran berlaku di jalanan.

“Keadaan tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan dan orang awam dipindahkan,” katanya.

Menurutnya, 93 orang sudah dipindahkan dari kem itu setakat ini.

PBB berkata, kira-kira 18,000 orang awam termasuk sebahagian besarnya kanak-kanak kini terperangkap di Yarmouk.

Kem itu dikepung tentera kerajaan sejak dua tahun lalu dan penduduknya diselubungi kebuluran serta penyakit.

Kem terbabit turut melihat pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan militan.

“Keadaan sudah sedia teruk namun semakin buruk selepas pertempuran mula memasuki kem,” kata Gunness. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:05 AM