Oleh Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Abu mayat ahli perniagaan, mendiang Datuk Tan Huat Seang, 59, selamat tiba di rumahnya di Taman Golf, di sini, 9.16 malam tadi.

Ketibaan bekas abu diiringi tiga anaknya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan mendiang yang sudah bersedia di perkarangan rumah.

Abu mayat berkenaan diletakkan di tempat disediakan khas untuk penghormatan terakhir oleh ahli keluarganya, saudara dan rakan mendiang.

Suasana pilu menyelubungi majlis sembahyang dan penghormatan terakhir yang dihadiri lebih 50 ahli keluarga terdekat dan rakannya termasuk balu mendiang, Datin Yee Siew Yen, 58, bersama empat anaknya Tan Hon Liang, 35; Tan Lee Fong, 32; Tan Lee Peng, 28; dan Tan Hon Yew, 27.

Terdahulu, mayat mendiang dibakar di upacara pembakaran di Taman Peringatan Xiao En, Nilai, Negeri Sembilan, 4.30 petang tadi.

Mendiang adalah antara enam mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Sungai Lalang, Semenyih, petang semalam.

Hadir sama bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Chor Chee Heung dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Abdul Ghafar Rejab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 10:19 PM