GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan sedang dalam proses memohon pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi perkhidmatan doktor pakar luar yang bukan kakitangan hospital.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ia bagi mengelakkan kekeliruan memandangkan perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada pengguna akhir dikecualikan daripada sistem percukaian itu.

"Pihak kami sedang berusaha termasuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memperjelaskan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persekitaran Lestari Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga sedang menunggu kelulusan pengecualian bagi 3,000 jenis ubat lagi dengan lebih 4,200 jenis ubat yang berada dalam Senarai Ubat-Ubatan Penting Nasional telah dikecualikan GST setakat ini.

Katanya sebanyak 120 jenis peralatan perubatan turut dikecualikan GST melibatkan lebih 25,000 barangan pakai buang bagi membantu sektor penjagaan kesihatan swasta mengurangkan kos perkhidmatan mereka.

Dalam pada itu, Dr Hilmi turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban bersama lima lagi mangsa nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih petang semalam.

Beliau menyifatkan pemergian tokoh yang telah banyak menabur jasa itu amat mengejutkan dan satu kehilangan besar kepada negara terutama kepada rakyat Rompin, Pahang. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 4:42 PM