MENDIANG Datuk Tan (kanan) yang terkorban dalam nahas helikopter.
Oleh Norul Awatif Romli dan Aizat Sharif
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang yang terkorban dalam nahas helikopter semalam sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-59 pada hari ini.

Rakan mendiang, Pengerusi Majunaka Eco Energy Sdn Bhd, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, berkata, isteri mendiang dikenali sebagai Yen, 50-an, dikatakan melarang suaminya menghadiri majlis perkahwinan anak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang, semalam.

Bagaimanapun, atas perlawaan daripada Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, mendiang menghadiri majlis berkenaan dan dijangka pulang semula ke Alor Setar hari ini.

"Saya diberitahu isterinya melarang mendiang pergi menghadiri majlis berkenaan kerana mahu menyambut ulang tahun kelahiran bersama ahli keluarga hari ini selain berasa tidak sedap hati, namun atas ajakan sahabatnya Allahyarham Jamaluddin dia bertegas untuk menghadiri majlis berkenaan," katanya.

Mendiang adalah Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan SP Baiduri Sdn Bhd serta ahli perniagaan yang aktif dalam bidang hartanah dan disifatkan sebagai seorang yang rajin bekerja selain suka berjenaka.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki serta dua anak perempuan.

Sementara itu, sumber Hospital Kuala Lumpur berkata, mayat mendiang akan dibawa ke Taman Peringatan Nilai di Negeri Sembilan bagi upacara pembakaran mayat.

Mayat mendiang selamat dibawa keluar dari Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur pada 1.25 pagi selepas menjalani proses bedah siasat sejak malam tadi.

"Mayat mendiang sudah pun dituntut oleh keluarganya dan dijangka akan dibakar di Taman Peringatan Nilai sebelum abu mayatnya dibawa pulang ke rumahna di Taman Golf di Alor Star," kata sumber itu.

Dua lagi mangsa iaitu warga Amerika Syarikat, juruterbang Kapten Clifford William Fournier dan pembantu juruterbang Aidana Baizieva dari Kyrgystan pula akan dituntut esok oleh kedutaan masing-masing.

Sehingga kini, hanya empat mangsa termasuk Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis sudah dibawa keluar dari Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 3:05 PM