Manila: Seramai 24,000 penduduk di wilayah timur laut Filipina dipindahkan semalam, sehari sebelum taufan Maysak dijangka melanda kawasan berkenaan, kata pegawai.

Ribut, banjir kilat dan tanah runtuh masih menjadi ancaman walaupun Maysak yang sebelum ini dikategorikan sebagai Taufan Super semakin lemah dengan kelajuan angin 160 kilometer sejam.

“Kami merancang untuk memindahkan penduduk keluar dari perkampungan pantai,” kata seorang pegawai kanan pertahanan awam, Nigel Lontoc.

Menurutnya, seramai 24,000 orang dipindahkan dari wilayah Aurora, lokasi taufan itu dijangka mendarat pada awal hari ini.

Seorang pegawai kaji cuaca, Alczar Aurelio berkata, Maysak yang terbentuk di Lautan Pasifik dijangka makin melemah apabila ia melintasi pulau Luzon hari ini.

Tambah Aurelio, ombak besar setinggi hampir dua meter dijangka membadai kawasan terbabit.

Kira-kira 20 taufan dan ribut melanda Filipina pada setiap tahun dan kebanyakannya menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, gangguan cuaca begitu jarang berlaku pada April, kemuncak musim kemarau di negara tropika Asia.

Pada November 2013, taufan Haiyan yang melanda Filipina menyebabkan seramai 7,350 penduduk mati dan hilang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:27 AM