BEKAS juara Ironman bergambar kenangan selepas sidang media.
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: TIME Ironman 70.3 Putrajaya yang berlangsung hari ini akan menghimpunkan lebih 1,300 peserta dari dalam dan luar negara untuk bersaing menerusi acara sukan lasak tersohor itu.

Pengurus Besar World Endurance (M) Sdn Bhd Lim Chong Ghee berkata, selain peserta profesional seperti Craig Alexander, Josh Amberger, Fredrik Croneborg, Rebekah Keat, Rose Watkinson dan Parys Edwards, Malaysia turut menghantar penyertaan termasuk peserta veteran berusia 78 tahun, Sze Mun Yee.

“Ini tahun kedua selepas kejayaan penganjurannya tahun lalu. Sebenarnya acara ini sudah dihentikan pada 2010, tetapi penganjur di Malaysia dan Kementerian Pelancongan melobi supaya diteruskan di negara ini sebelum penganjur utama membenarkan Ironman Putrajaya berlangsung selama tiga tahun.

“Tahun ini, ia membabitkan lebih 1,300 peserta dari 55 negara dengan Malaysia menghantar peserta paling ramai iaitu 34 peratus, diikuti Singapura sebanyak 22 peratus. Secara keseluruhan, peserta antarabangsa adalah paling ramai iaitu 64 peratus,” katanya pada majlis pelancaran TIME Ironman 70.3 Putrajaya di sini, kelmarin.

Chong Ghee berkata, peserta Malaysia lebih ramai tahun ini berbanding tahun lalu dan ia menunjukkan perkembangan baik kerana rakyat negara ini mula berjinak dengan sukan lasak.

“Pendedahan acara lasak untuk rakyat Malaysia agak kurang, TIME Ironman 70.3 Putrajaya menjadi platform mereka menceburkan diri. Kita mahu lebih ramai individu menyertai acara berprestij ini pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, acara tahun ini meliputi laluan sejauh 113 kilometer (km) membabitkan renang (1.9 km) di Tasik Putrajaya, berbasikal (90 km) dan larian (21 km).

Lebih menarik katanya, acara larian akan bermula dari tapak Anjung FLORIA Di Raja, Presint 4, sekali gus memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, syarikat telekomunikasi TIME dotCOM Bhd (TIME) menjadi penaja kejuaraan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:25 AM